'Dah cabar di mahkamah, lepas itu akan bertanding atau tidak?'- Sulaiman
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 23, 2021 12:41 MYT
Oktober 23, 2021 12:41 MYT
AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan sesiapa sahaja mempunyai hak untuk membawa apa jua perkara ke mahkamah.
Ia termasuk isu saman yang difailkan Pakatan Harapan (PH) Melaka terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 4 Oktober lalu serta keabsahan kerajaan ‘caretaker’ di bawah pimpinannya.
“Bubar pun dia (PH) tidak mahu, apa pun mereka tidak setuju. Jadi saya tidak ada komen kerana perkara itu pun sudah difaikan. Teruskan sahajalah dan tunggu (keputusan) mahkamah.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) juga sudah diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kalau kata mereka (tetap) mahu cabar di mahkamah, cabar lah! Itu hak dia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Deepavali anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Semalam Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri menfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat bagi mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 pada 4 Oktober lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Adly menamakan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sebagai responden pertama sehingga empat.
Dalam pada itu Sulaiman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut mempersoalkan adakah Adly dan blok PH akan bertanding pada PRN, November ini.
“Kalau kata hendak cabar di mahkamah, (Adly) bertanding ataupun tidak ? Parti lawan bertanding ? Dah cabar di mahkamah, lepas itu akan bertanding ? Tidak tahu lah,” soalnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada akan terus mempertahankan kerusi DUN Lendu pada PRN nanti, Sulaiman berkata beliau menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti.