Daftar pemilih tambahan September dibuka untuk semakan - SPR
Bernama
Disember 2, 2022 19:12 MYT
Disember 2, 2022 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2022 (DPT BLN9/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 31 Dis.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan DPT BLN9/2022 mengandungi 83,783 nama warganegara berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh 1 Sept hingga 30 Sept yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu
Menurutnya ia juga melibatkan 27,104 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 11,049 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
SPR menyediakan lima kaedah untuk semakan iaitu menerusi portal SPR di https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Selain itu, katanya semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
"SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Sept hingga 30 Sept 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, agar menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2022.
"Sekiranya mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN9/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C (tuntutan) melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan," katanya.
Ikmalrudin berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi borang D (bantahan) dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Menurutnya borang C dan borang D boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my serta perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat di hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN9/2022.
-- BERNAMA