Daftar Pemilih Tambahan Januari 2022 dibuka untuk semakan
Bernama
Februari 16, 2022 22:40 MYT
Februari 16, 2022 22:40 MYT
JOHOR BAHRU: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang telah diperakui dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari, hingga 17 Mac depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan iaitu seperti di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan juga di Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
"DPT BLN1/2022 ini mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Jan 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.
"Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.
Menurutnya jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.
"Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri," katanya.
-- BERNAMA