'Cybertrooper' UMNO perlu lebih agresif - Syed Ali

Astro Awani
Januari 23, 2017 23:26 MYT
SYED ALI: UMNO perlu lebih agresif memerangi serangan persepsi yang dilancarkan blok pembangkang menerusi media sosial menjelang PRU akan datang. - Gambar fail
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO perlu lebih agresif memerangi serangan persepsi yang dilancarkan blok pembangkang menerusi media sosial menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, setiap pelusuk parti terutama di peringkat bahagian perlu menggerakkan jentera tentera siber menangkis dakyah pembangkang yang menggunakan media sosial untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Ini bukan lagi satu rahsia, kita sedia maklum pembangkang mula menggunakan aplikasi mudah alih dan media sosial sejak PRU ke-12 dan ternyata kesannya amat pahit kepada BN.
"Pada waktu itu, serangan alam maya menyebabkan BN menerima kekalahan amat teruk sehingga beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Justeru itu kata Syed Ali, saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya UMNO menguatkan strategi komunikasi yang lebih berkesan di media sosial perlu diberikan perhatian segera.
"Saya bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid, ini satu realiti jika kita mahu melihat UMNO dan BN terus kukuh dan kekal relevan sejajar dengan anjakan masa," tegasnya yang juga Bendahari BN Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, saranan Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas selaku Timbalan Presiden UMNO amat bertepatan dengan senario politik masa kini dengan penerimaan rakyat lebih bersifat terbuka terhadap media sosial.
"Generasi masa kini lebih kritis, mudah menerima apa juga informasi dalam dan luar negeri, mereka adaptasikan maklumat itu dengan pemikiran dan persekitaran sekeliling mereka.
"Kelangsungan daripada itu, generasi muda termasuk masyarakat umum dilihat lebih mudah menerima persepsi negatif disalurkan pembangkang menerusi media sosial.
"Malah, pembangkang termasuk kumpulan anti-kerajaan akan menularkan persepsi dan bahan fitnah berulang kali sehingga pembohongan tersebut akhirnya akan ditafsirkan sebagai satu kebenaran," tegasnya.
Jelasnya lagi, itulah mesej yang hendak disampaikan Ahmad Zahid yang mahu pendokong parti supaya lebih agresif dan bersiap siaga untuk menyerang pihak lawan menggunakan kemudahan media sosial sepertimana dilakukan blok pembangkang," tegasnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan bagaimana kebijaksanaan kawalan Donald Trump terhadap media sosial dengan pasukan komunikasinya yang menjadikannya dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat.
"UMNO sewajarnya mempelajari strategi tersebut," jelasnya.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata keberkesanan tentera siber atau cybertrooper UMNO pernah beberapa kali disaran supaya lebih agresif menangani apa juga isu dan tohmohan dilakukan pembangkang dalam memburukkan parti dan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya pernah menyuarakan perkara ini sejak dulu lagi, kita kena bingkas bangkit daripada segenap pelusuk untuk menangkis asakan pembangkang.
"Kita tidak sepatutnya hanya melihat dan membiarkan Perdana Menteri dan timbalannya menepis terjahan pembangkang," ujarnya lagi sambil berkata pengawalan media sosial perlu dipertingkatkan menjelang PRU ke-14.
Syed Ali berkata, beliau amat bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri supaya tentera siber UMNO dipertingkat terutama membabitkan ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berpendapat, jika lebih 190 bahagian UMNO di seluruh negara meningkatkan kecekapan mengawal media sosial ianya akan memberi kengkangan kepada pihak pembangkang.
"Bayangkan, jika 190 bahagian dicampurkan pula dengan tiga sayap, bermakna kita ada ribuan tentera siber di media sosial sosial yang sudah pasti akan menggerunkan pihak pembangkang.
"Masalahnya sekarang, kita membiarkan pembangkang menguasai media sosial, kita sekadar membaca dan melihat pelbagai maklumat fitnah, tohmohan tersebar begitu sahaja, akhirnya rakyat mempercayai segala pembohongan tersebut," tegasnya.
#BN #Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #PRU #UMNO
;