'Cybertrooper' UMNO perlu belajar dari Trump - TPM Zahid

Harits Asyraf Hasnan
Januari 22, 2017 21:01 MYT
Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap melancarkan Skuad Penerangan & Media UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - fotoBERNAMA
UMNO perlu mengubah pendekatan komunikasi terutama peranan media sosial dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang dilakukan Donald Trump di media sosial telah membuahkan hasil apabila berjaya menjadi Presiden Amerika Syarikat ke 45.
Justeru, beliau mahu struktur dan pendekatan media sosial yang digunakan Trump dilaksanakan oleh UMNO namun berlandaskan acuan Malaysia.
"Ini hakikat walaupun berat, kita harap apa kita buat ini belajar dari pengalaman yang dulunya tak digemari tapi kini jadi pemimpin utama.
"Tetapi kerana kawalan ke atas media sosial dengan pasukan komunikasi, beliau telah dilantik menjadi presiden. Inilah yang kita perlu belajar," katanya ketika melancarkan Skuad Komunikasi dan Media Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC di sini hari ini.
Jelas beliau, pandangan negatif terhadap Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pada ketika ini terus kekal lantaran 93.4 peratus 'cybertrooper' di negara ini adalah pro-pembangkang.
"Kita mesti mengubah medium kaedah komunikasi di kalangan kita. Jika kita gagal dan tenggelam dalam persepsi negatif ini, maka tanggapan di luar kita bersalah. Tanggapan di luar kita lemah.
“Hanya 6.6 peratus di kalangan 'cybertrooper' yang mendokong kerajaan dan jumlah itu jika mengikut nisbah adalah tiap satu daripada 'mediatrooper' yang menyokong kita ada 15 yang menentang," katanya.
Justeru beliau menyeru menerusi Skuad Komunikasi dan Media Wanita UMNO yang dimulakan dengan pergerakan Wanita UMNO, tahap peratus media siber yang menyokong kerajaan akan menjadi 93 peratus dengan maklumat kerajaan sampai kepada golongan sasaran.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi serta 2,000 anggota skuad.
#Cyber Troopers #Wanita UMNO #Zahid Hamidi
;