Cukup-cukuplah sokong BN selama 60 tahun - Anwar
Arfa Yunus
Januari 17, 2019 16:58 MYT
Januari 17, 2019 16:58 MYT
Selama 60 tahun, undi Orang Asli diberi kepada Barisan Nasional (BN), namun tidak banyak perubahan telah dibawa untuk mengubah nasib dan hidup orang asal.
Demikian ucapan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program 'Dialog dengan Ketua-Ketua Batin Pos Betau' pada Khamis.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyeru Orang Asli agar membuat perubahan dengan memilih Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tiada guna lagi memberi undi kepada BN memandangkan parti itu telah diberi peluang selama 60 tahun tetapi gagal membawa pembangunan rancak buat komuniti Orang Asli.
"Tok-tok Batin dan semua komuniti Orang Asli kena berani. Kali ini ubah dan sokong Pakatan Harapan.
"Kita perlu fikir, apakah kita nak hidup seperti sekarang sampai bila-bila? Apa akan terjadi pada masa depan anak-anak?
"Cukuplah undi BN. Betul, BN ada bawa perubahan pada negara tetapi perubahan untuk kehidupan Orang Asli sangat sedikit," katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh serta Ahli Dewan Negara Bob Manolan.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru itu akan diadakan pada 26 Januari, manakala Hari Pengundian Awal pada 23 Januari.
Mewakili Pakatan Harapan adalah M. Manogaran, BN diwakili Ramli Md Noor dan dua calon Bebas lain adalah Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib.
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasiona
#BN
#Cameron Highlands
#ketua batin
#Manogaran
#Orang Asal
#Orang Asli
#Pakatan Harapan
#perubahan
#PH
#pilihan raya kecil
#pos betau
#Presiden PKR
#PRK Cameron Highlands
#Tok Batin