Cukup-cukuplah Mahathir - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Mac 28, 2023 20:55 MYT
Menurut Mohamed Nazri, masyarakat hari ini tidak lagi bercakap perkara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir kerana isu tersebut tidak lagi relevan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz secara sinis menjelaskan beliau bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang hak Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan.
Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan, perkara itu pernah dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menjatuhkan Dr Mahathir pada 2020.
Namun tegas Mohamed Nazri ketika itu Dr Mahathir amat tidak berpuas hati dan marah dengan tindakan yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Azmin.
"Kali ini saya amat bersetuju dengan pendapat Mahathir kerana waktu dia jatuh pada 2020 dahulu pun dia dijatuhkan oleh kuncu-kuncu dia sendiri iaitu Muhyiddin dan Azmin.
"Masa dia dijatuhkan bukan main dia marah dan menyalahkan Ahli Parlimen dari Bersatu, Pas dan UMNO kerana bergabung untuk menyingkirkan dia.
"Sekarang Mahathir bila dah tidak lagi dipercayai oleh orang Melayu, sudah kalah teruk dan hilang deposit, Mahathir cuba hasut Ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan menggunakan kaedah yang digunakan oleh Muhyiddin dan Azmin kepada beliau.
"Manusia macam ini tidak boleh dipercayai, kalau orang lain semua salah, hanya dia sahaja yang betul," katanya.
BACA: Jika tidak ditadbir dengan baik, Ahli Parlimen boleh tukar kerajaan - Tun M
BACA: Kenyataan fitnah: Tun M beri tempoh tujuh hari untuk PM Anwar tarik balik
Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa sesiapa yang bercakap berkenaan orang Melayu itu merupakan satu hasutan dan anti-kaum, Mohamed Nazri menegaskan bekas calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kalah teruk di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan individu yang sedang menghasut.
Menurut Mohamed Nazri, masyarakat hari ini tidak lagi bercakap perkara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir kerana isu tersebut tidak lagi relevan.
"Dia faham ke tidak maksud nama Malaysia itu, Malays itu sudah merujuk kepada Melayu, tidak ada sesiapa yang pertikaikan tentang perkara itu.
"Kewujudan negeri yang mempunyai Raja-Raja Melayu juga membuktikan bahawa sudah lama orang Melayu mempunyai kerajaan.
"Sejak Malaysia ditubuhkan, kita sudah menerima negara ini negara berbilang kaum, kalau Mahathir nak bising-bising, nak kata negara ini hanya untuk orang Melayu, Cina dan India Malaysia nak pergi mana? Dayak, Iban, Kadazan dan lain-lain Bumiputera di Sabah dan Sarawak nak pergi mana?
"Ini negara mereka juga, negara kita semua. Meraka juga ada hak ke atas negara ini. Kita sudah jadi Malaysia dan kita sudah setuju untuk berkongsi.
"Cukup-cukuplah Mahathir, janganlah menghasut untuk orang Melayu benci kerajaan," katanya lagi.
Dalam sidang medianya pada Selasa, Dr Mahathir meluahkan rasa kurang yakinnya terhadap kerajaan untuk membela nasib orang Melayu.
Mahathir mendakwa kerajaan hari ini menganggap tidak ada masalah khusus untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya semua masalah bersama sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mendakwa sebuah negara berbilang kaum ini bukanlah yang terdapat dalam Perlembagaan negara.
Beri bukti saya bolot kekayaan diri dan keluarga - Dr Mahathir
#UMNO #Padang Rengas #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Melayu #Malaysia #kerajaan #hasutan #akta hasutan #Mahathir Mohamad
;