Cukup-cukuplah, jangan tambah beban rakyat dengan sandiwara politik - Hishammuddin

Ridauddin Daud
September 24, 2020 17:10 MYT
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya malu kerana tergamak membuat perancangan menukar kerajaan ketika negara masih berperang dengan virus itu. - Hishammuddin
Janganlah ditambah lagi beban rakyat dengan isu politik tatkala mereka cukup terbeban dengan isu ekonomi dan COVID-19 sehinggakan ada dibuang kerja, dipotong gaji, tidak pulang jumpa anak isteri berbulan-bulan dan hilang ahli keluarga.
Nasihat itu disuarakan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menegaskan sekiranya politik negara berterusan tidak stabil, usaha kerajaan untuk rakyat selama beberapa bulan ini akan menjadi sia-sia.
Tegas beliau, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya malu kerana tergamak membuat perancangan menukar kerajaan ketika negara masih berperang dengan virus itu.
“Sedikitpun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri. Cukup-cukuplah. Rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini.
“Sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri. Ia langsung tidak menguntungkan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA: Anwar dakwa ada majoriti kukuh
BACA: Istana Negara sahkan majlis menghadap Anwar ditangguh
Tambahnya, tidak kira apa berlaku, jemaah menteri dan ahli-ahli Parlimen kerajaan mesti memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jangan kita menjadi anggota penting Kerajaan, menikmati kelebihan yang diperolehi tetapi pada masa yang sama tidak menyokong kepimpinan.
“Ini mesti menjadi peringatan oleh semua Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Ketua-ketua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang dilantik.
Bagaimanapun, jika ada anggota Kerajaan yang bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, eloklah berundur dari kerajaan. Kita harus tumpu usaha membina semula negara bukan sandiwara politik yang merugikan,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, bekas Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan UMNO supaya tidak melayan propaganda Anwar.
“Saya melihat tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi.
“Ia seolah-olah ingin mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan.
“UMNO mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar. Ini kerana, ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini,” tegasnya.
BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid
BACA: Kerajaan dibentuk kelak adalah rencana saya untuk kembalikan mandat rakyat - Anwar
BACA: Saya tidak tahu menahu tentang 'Langkah Anwar' - Nazri Aziz
Astro AWANI pada Rabu melaporkan Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.
Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya disambut tepukan, sorakan dan laungan ‘reformasi’ daripada penyokongnya.
Tambah beliau, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.
#Anwar Ibrahim #Astro Awani #DAP #GLC #Hishammuddin Hussein #kerajaan #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #Perdana Menteri #pilihan raya #PKR #presiden #rakyat #UMNO #Yang di-Pertuan Agong
;