'Cubalah aman damai selepas pelantikan PM baharu' - Penganalisis

Astro Awani
Ogos 20, 2021 18:11 MYT
Kata Dr Sharifah Syahirah, pembentukan Kabinet yang baharu kelak perlu bersifat lebih inklusif dan memerlukan kerjasama di antara negeri dan parti-parti politik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pihak terutama ahli politik diminta berdamai dan memberi fokus kepada penyelesaian krisis kesihatan selepas pengumuman pelantikan perdana menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penganalisis politik, Sharifah Syahirah Syed Sheikh berkata, ia selari perancangan jangka panjang negara sekali gus memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam proses berkenaan.
"Diharap selepas ini, kemelut ini dapat dihentikan sebelum PRU15, kerana kita dalam krisis, dalam krisis ini ada beberapa perkara yang perlu diteliti.
"Pertama, bekalan, peralatan, sumber manusia, cukupkan untuk kita hadapi krisis ini. Maknanya perlu sentiasa ada semak semula, penambahbaikan dan sebagainya.
"Kedua, kena ada penelitian tentang kerosakan, kesan buruk yang dihadapi oleh mangsa COVID-19. Maknanya mangsa termasuk rakyat secara amnya," katanya semasa sidang video pada Jumaat.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
BACA: Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9
BACA: Ismail Sabri PM ke-9: Ketepi agenda politik, bersatu hati tangani pandemik COVID-19 - Agong
Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
Dalam pada itu kata Sharifah Syahirah, pembentukan Kabinet yang baharu kelak perlu bersifat lebih inklusif dan memerlukan kerjasama di antara negeri dan parti-parti politik.
Jelasnya, 220 Ahli Parlimen perlu dianggap sebagai bakat yang mempunyai kelebihan terbaik untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi.
[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Ismail Sabri
#COVID-19 #Dewan Rakyat #kabinet #Parlimen #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #PM #Malaysia #Politik Malaysia
;