Cubaan lagakan saya dengan Saarani satu fitnah jahat - Zambry
Abd Razak Mohd Ali
Mac 3, 2020 13:29 MYT
Mac 3, 2020 13:29 MYT
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluahkan rasa tidak senang terhadap cubaan pihak-pihak tertentu yang melaga-lagakan beliau dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Zambry berkata, tindakan sebuah portal mendakwa dirinya dan Saarani sedang berebut jawatan Menteri Besar Perak adalah satu fitnah jahat.
Menurutnya, tidak timbul isu perebutan jawatan itu kerana mereka berdua berada dalam Umno, satu pasukan sama.
"Memang jahat. Tak habis-habis peracun dan pemfitnah cuba melaga-lagakan saya dengan Datuk Saarani. Mereka sebenarnya geram tengok kami bergerak dalam satu pasukan yang kukuh dan bersama.
"Tak usahlah nak lagakan kami seolah-olah gila kuasa dan jawatan. Kadang-kadang kesian tengok hidup pemfitnah ini, jiwanya sakit dan derita," katanya sebagai mengulas laporan sebuah portal kononnya berlaku perebutan jawatan Menteri Besar antaranya dan Saarani.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor turut menjelaskan perkara sama menerusi ciapannya di Twitter semalam.
Sementara Saarani pula meminta semua pihak supaya jangan mempercayai cerita-cerita seumpama itu yang beliau sifatkan sebagai karut.
“Hubungan kami sentiasa akrab, selalu berbincang bersama untuk kukuhkan pasukan. Abaikanlah anasir negatif begini,” ujarnya.
Terdahulu mesyuarat Perhubungan Umno Perak pada 24 Februari lalu telah menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar.
Saarani disebut-sebut bakal Menteri Besar Perak yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Semalam, media melaporkan ADUN Muafakat Nasional sebulat suara menamakan Saarani yang juga ADUN Kota Tampan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu jika berlaku pembentukan kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini.
Terdahulu mesyuarat Perhubungan Umno Perak pada 24 Februari lalu telah menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar.