Cubaan Khairy perkecilkan #KitaLawan tanda UMNO semakin takut - Tian Chua

Haider Yutim
April 15, 2015 16:17 MYT
Menurut Tian Chua, #Kitalawan merupakan cantuman perjuangan dari pelbagai isu yang bergabung di bawah satu slogan. Foto AWANI / SHAHIR OMAR
Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan percubaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memperkecilkan himpunan #KitaLawan sebagai tanda ketakutan UMNO.
Khairy, dalam satu kenyataan semalam berkata sambutan yang diterima #KitaLawan tidak mencapai tahap seperti gerakan Reformasi pada 1998 dahulu.
Mengulas perkara ini, Tian Chua berkata #KitaLawan merupakan kesinambungan kepada perjuangan mereka dan ia tidak boleh dibandingkan dengan gerakan Reformasi.
“Saya tidak rasa dia (Khairy) tahu apa-apa mengenai Reformasi… sudah tentu tidak boleh dibandingkan.
“Tetapi ia suatu kesinambungan perjuangan, dan jika ada yang fikir bahawa angka Kitalawan adalah lebih kecil dari 1998, saya rasa sila balik dan lihat semula foto-foto tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Rabu.
Menurut beliau, jumlah peserta perarakan dari Sogo ke KLCC pada 7 Mac lalu melebihi peserta pada perarakan tahun 1998 dan 1999.
Katanya lagi, pada perhimpunan Reformasi, 90 peratus yang menyertainya adalah kaum Melayu dan orang-orang UMNO, manakala #KitaLawan pula dihadiri peserta daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
“Hari ini, Kitalawan ialah perjuangan multietnik yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada kaya atau miskin terutama sekali ramai anak-anak muda yang bukan hanya turun disebabkan Anwar atau satu dua isu, tetapi isu-isu yg melibatkan diri mereka sendiri seperti GST, POTA, rasuah dan sebagainya,” jelas Tian Chua.
Sebagai rumusan, katanya #Kitalawan merupakan cantuman perjuangan daripada pelbagai isu yang bergabung di bawah satu slogan.
“Saya nampak ini ditakuti oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN)… dan cubaan memperkecilkan KitaLawan hanya mendedahkan ketakutan sebenarnya dirinya,” kata beliau.
Selain itu, beliau juga berkata amaran oleh tokoh-tokoh veteran UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Tengku Razaleigh Hamzah kepada parti itu berhubung himpunan ini merupakan satu ‘pujian’.
Bagaimanapun, katanya, Pakatan Rakyat tidak boleh terlalu berbangga dengan ‘pujian’ tersebut, dan sebaliknya berusaha untuk mendapat lebih penyertaan bagi meneruskan perjuangan.
Dalam laporan Malaysiakini, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, himpunan #KitaLawan tidak akan berjaya melunturkan sokongan orang ramai pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, himpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu telah menarik penyertaan 10,000 orang, namun sokongan itu semakin merosot dengan hanya 500 orang berarak ke KLCC pada 28 Mac.
#Khairy Jamaluddin #kitalawan #PKR #reformasi #Tian Chua
;