Cubaan Ahli Parlimen kumpul akuan bersumpah untuk dapat jawatan jelek - Fahmi Fadzil

Faris Danial Razi
Jun 10, 2021 14:41 MYT
Fahmi memaklumkan, sebagai negara yang mengamalkan prinsip Raja Berpelembagaan, pihaknya percaya bahawa dakwaan 'restu' itu adalah tidak benar sama sekali. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ura-ura mengenai cubaan beberapa Ahli Parlimen untuk mendapatkan akuan bersumpah (Statutory Declaration) bagi meraih jawatan dalam kerajaan Persekutuan disifatkan satu perkara yang jelek.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan mendakwa, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu.
"KEADILAN (PKR) mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan tentang khabar yang sedang tersebar bahawa beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan Perakuan Berkanun.
"(Ia) bagi meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.
"Parti turut difahamkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen ini berbuat demikian dengan dakwaan kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong.

KENYATAAN MEDIA 10 Jun 2021 KEADILAN mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan tentang khabar yang sedang tersebar bahawa beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan Perakuan Berkanun 1/6

— Fahmi Fadzil #IStandWithPalestine (@fahmi_fadzil) June 10, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berpelembagaan kami percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis," katanya dalam satu kenyataan media yang dikongsi di Twitter pada Khamis.
Beliau berkata, PKR berpendirian nama Yang di-Pertuan Agong tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen.
Katanya, lebih-lebih lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara pada ketika ini.
"Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak oleh rakyat. Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.
#PKR #Parti Keadilan Rakyat #Twitter #Parlimen #ekonomi #COVID-19 #pandemik #Fahmi Fadzil #akuan berkanun