COVID-19: Tidak wajar tukar kerajaan semasa pandemik - Lajim Ukim
Astro Awani
Julai 4, 2021 13:03 MYT
Julai 4, 2021 13:03 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan menukar kerajaan ketika seluruh negara masih berdepan pandemik COVID-19 dilihat sebagai tidak wajar selain tidak menjamin masalah dihadapi negara dapat diselesaikan segera.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Lajim Ukin berkata, semua parti politik disaran supaya menunggu sehingga tempoh Parlimen sekarang tamat pada 2023 jika mahu menukar kerajaan sedia ada.
"Tempoh itu sudah tidak lama lagi kerana hanya berbaki kira-kira setahun setengah saja lagi. Langkah itu lebih baik berbanding mengambil tindakan menukar kerajaan ketika seluruh negara masih berdepan pandemik COVID-19.
"Saya berpandangan dalam keadaan sekarang sepatutnya wakil rakyat perlu melihat yang mana keutamaan mereka, sama ada mahu mendapatkan jawatan atau rakyat.
"Rakyat pasti akan menilai apa yang wakil rakyat lakukan untuk mereka, tidak kiralah sama ada wakil rakyat pembangkang atau kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan ada usaha untuk menukar kerajaan apabila Parlimen bersidang dalam masa terdekat berikutan titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini yang menzahirkan pandangan supaya Parlimen segera bersidang.
Sebelum ini, kerajaan menjelaskan bahawa sidang khas Parlimen akan diadakan sebelum 1 Ogos depan dan perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Ahli politik veteran Sabah itu berkata, pertukaran kerajaan pada masa sekarang hanya menyebabkan banyak masa untuk menangani isu pandemik COVID-19 terbuang kerana perlu membentuk semula Kabinet dan pelbagai jawatankuasa berkaitan.
"Kita juga kena ingat, bolehkah selesai masalah kalau tukar kerajaan? Banyak lagi perlu difikir, lantik itu ini..bagi saya tunggu saja pilihan raya, tidak lama lagi, setahun setengah saja lagi," katanya.
Lajim yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort berkata, persidangan khas Parlimen sebelum 1 Ogos depan perlu dimanfaat sepenuhnya untuk membahaskan perkara berkaitan darurat, sekatan pergerakan, vaksin COVID-19, perbelanjaan kerajaan dan lain-lain perkara penting yang berkaitan.
Katanya, ramai rakyat keliru mengenai bila sepatutnya Parlimen boleh bersidang berikutan kenyataan bercanggah yang disuarakan pelbagai pihak berhubung perkara itu.
"Saya sendiri tidak faham kenapa ada perbezaan pendapat dalam kalangan pakar undang-undang, ada yang kata tunggu Perdana Menteri, ada kata Yang di-Pertuan Agong lebih berkuasa dalam tempoh darurat.
"Semua keliru dan saya pun keliru kerana mengikut kebiasaan, persidangan Parlimen hanya boleh diadakan selepas diberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak boleh notis 24 jam," katanya.
#Parlimen
#COVID-19
#vaksin
#pembangkang
#undang-undang
#Yang di-Pertuan Agong
#PPBM
#pilihan raya
#Perdana Menteri
#pandemik
#PRU
#tukar kerajaan
#Sidang Parlimen Khas
#darurat
#Lajim Ukin
#Malaysia
#kabinet