Contohi GPS, Hajiji perlu daftar GRS sebagai entiti politik rasmi- Joniston

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 26, 2021 14:52 MYT
Jelas Joniston penerimaan rakyat Sabah terhadap GRS telah terbukti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, dan pendaftaransecara rasmi akan memantapkan lagi gabungan itu. - Gambar fail
PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin dengan kebijaksanaan Ketua Menteri Sabah merangkap pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dalam membuat keputusan untuk mendaftarkan gabungan itu.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau yakin kepimpinan tertinggi turut akan dapat membuat suatu keputusan ke arah itu.
Joniston yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, menjadikan GRS gabungan rasmi ialah langkah terbaik supaya gabungan itu lebih mantap.
"Hal ini dilihat mampu memberikan kebaikan sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ada di Sarawak.
"Kita sudah membuktikan dengan adanya GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, gabungan ini berjaya meraih kemenangan dalam pilihan raya lalu.
"Saya tahu ada dalam kalangan pemimpin serta rakan-rakan parti yang turut sama dalam GRS mempunyai pola pemikiran serupa tentang hal ini," katanya selepas merasmikan rumah rehat dan jeti terapung Inap Desa Walai Ondoton di Kampung Kuyuh, Pitas, pada Jumaat.
Ditanya samada GRS sudah mengadakan perbincangan dalam kalangan pemimpinnya mengenai pendaftaran terbabit, Joniston memaklumkan perkara terbabit hanya dibincangkan secara tidak rasmi.
"Bagaimanapun, saya percaya hal ini akan diperincikan lagi dalam masa terdekat," katanya.
Pada Khamis, bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak yang juga Bendahari GRS, menggesa gabungan itu didaftarkan secara rasmi atas kepentingan meletakkannya di landasan kukuh menjelang pilihan raya umum akan datang.
BACA: Daftar GRS sebagai gabungan politik rasmi - Salleh
Untuk rekod, GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan), Barisan Nasional (Umno, PBRS, MCA dan MIC) serta PBS.
#Gabungan Rakyat Sabah GRS #Datuk Hajiji Noor #Datuk Joniston Bangkuai #Gabungan Parti Sarawak GPS
;