Contohi DAP, berhenti 'meroyan' tak dapat jadi PM - Zahid
Astro Awani
Disember 4, 2022 09:20 MYT
Disember 4, 2022 09:20 MYT
BEKAS Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta untuk menghormati pelantikan melibatkan Kerajaan Perpaduan kerana ia telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin dilihat lupa pelantikan Perdana Menteri adalah bidang kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Pelantikan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini juga selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
"Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
"Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam Kabinet angkat sumpah menuduh pembentukan kerajaan dan Kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, senarai Kabinet juga telah dipersembahkan bagi mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebelum diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid seterusnya menyatakan tindakan mempertikaikan segala pelantikan dilihat sesuatu yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.
"Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu yang terlalu gilakan kuasa dan perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan belajar juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan akan tetapi ialah Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu," ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataannya menyifatkan Anwar selaku Perdana Menteri menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti dijaja sepanjang kempen pilihan raya apabila melantik golongan didakwanya 'kleptokrat' untuk menganggotai Kabinet.
"Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri," kata Muhyiddin.
Membalas kritikan Muhyiddin terhadap Anwar yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia dan juga diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine serta Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine satu ketika dahulu.
"Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
"Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan.
"Rekod ini tidak pernah dicapai oleh Muhyiddin yang sangat bermasalah mengurus negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal dan kini berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
"Inilah beliau sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi Perdana Menteri hingga sanggup melanggar adat dan adap membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri," ujarnya.