'Comolot Tun M-Kit Siang, hari paling gelap dalam hidup saya' - Shahrizat

Rahimah Abdullah
November 30, 2016 15:42 MYT
SHAHRIZAT: Yang paling sedih, apabila tengok bekas pemimpin kita bersekongkol dengan pembangkang. Saya rasa pelbagai perasaan dilalui dari terkejut kepada sedih, marah dan lain-lain. - Foto AWANI/SHAHIR OMAR
Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menggunakan pentas Perhimpunan Pergerakan itu untuk mengkritik kemesraan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan seterunya dari DAP, Lim Kit Siang.
Beliau pada masa sama, sedih dengan tindakan Dr Mahathir yang sebelum ini dianggap sebagai pemimpin yang disegani dan sanggup susah senang bersama anggota parti sebelum ini.
Shahrizat menegaskan, Bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bersekongkol dengan pembangkang yang sebelum ini tidak sebulu dengan beliau.
"Yang paling sedih, apabila tengok bekas pemimpin kita bersekongkol dengan pembangkang. Saya rasa pelbagai perasaan dilalui dari terkejut kepada sedih, marah dan lain-lain. Hari saya tengok beliau duduk 'comolot'dengan Lim Kit Siang hari paling gelap dalam hidup saya. Malu saya. 22 tahun beliau suka duka dengan kita," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di PWTC di sini hari ini.
'Comolot' merupakan bahasa pasar bagi menunjukkan kemesraan yang melampau.
Beliau melihat agenda peribadi politik Dr Mahathir itu yang tidak boleh diterima itu hanya bertujuan menghancurkan negara.
BACA: LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Agung UMNO 2016 (Hari Kedua)
Justeru, Shahrizat menggesa semua kepimpinan wanita agar bangkit menangkis setiap tohmahan pembangkang kerana beliau yakin wanita UMNO bukan bersifat pengecut atau bacul.
"Marilah bersama saya kita siap diri dan turun. Kita, pantang wanita (dicabar), bukan pengecut atau bacul. Sampai mati wanita berkubu. Kita benam dan tentang petualang negara. Ingat, ini Pergerakan Wanita UMNO, sekali kita melangkah ke medan perang, sampai ke akhir nyawa kita berjuang," tegasnya.
Dalam pada itu, wanita UMNO menggesa penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) disegerakan untuk menangani isu dan mengawal kemasukan dana asing kepada NGO yang berkepentingan politik.
"Ancaman itu datang dalam bentuk gerakan hak asasi seperti Bersih dan seangkatan dengannya digerakkan untuk melumpukah ekonomi dan politik negara," ujarnya.
#Dr Mahathir Mohamad #Perhimpunan Agung UMNO 2016 #Shahrizat Abdul Jalil
;