Ciplak inisiatif Johor buktikan Pakatan Harapan terdesak untuk popular

Bernama
April 7, 2018 20:29 MYT
AYUB: Rakyat Johor amat arif tentang segala usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Langkah pembangkang menciplak inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan Johor dan memasukkannya dalam manifesto pilihan raya mereka membuktikan pakatan itu terdesak untuk popular hinggakan malas untuk memikirkan inisiatif sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata tindakan itu bagaimanapun mencerminkan pembangkang lupa akan hakikat bahawa rakyat Johor amat arif tentang segala usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Katanya, di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, rakyat tahu bahawa kerajaan negeri sentiasa berfikir dan memandang ke hadapan dalam menyantuni Bangsa Johor dalam pelbagai aspek kehidupan.
Ini termasuk mengambil langkah tepat dan strategik dengan membuka Kolej Pengajian Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) dan Skill Hub Johor yang menjurus kepada penguasaan dan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, katanya, Johor telah sekian lama memberi biasiswa kepada para pelajar Bangsa Johor yang menuntut di pelbagai peringkat, termasuk bagi pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh tanah air serta di luar negara, katanya ketika mengulas manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan semalam.
Manifesto pembangkang itu yang mengandungi 20 intipati antara lainnya menyentuh hasrat mereka untuk mewujudkan Universiti Johor, mengembalikan biasiswa kerajaan Johor, membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan memperkenalkan air percuma, sekiranya berjaya menawan Johor pada pilihan raya umum kelak.
Berlandaskan segala tawaran ini, Ayub berkata PH hanyalah sebuah pakatan yang mahukan kuasa semata-mata tanpa mempunyai sebarang dasar dan tawaran yang bijaksana.
"Inilah natijahnya jika kita memilih wakil rakyat yang hanya muncul ketika pilihan raya untuk memenangi kerusi," katanya.
Di KUCHING, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata 99 peratus perkara yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) telah terlaksana berbanding dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor.
"Tengok apa yang mereka cakap, apa mereka buat, adakah selari dengan apa yang kita hasratkan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bergerak maju di masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi santai bersama peserta Pertandingan Matematik Dunia ke-15 di sini, hari ini.
-- BERNAMA
#Ayub Rahmat #Barisan Nasional #Johor #Khaled Nordin #MalaysiaMemilih #Manifesto #pembangkang #politik #UMNO
;