Ciapan 'Bodoh. Bangang. Selfish' bukan untuk Tun M - Kasthuri
Astro Awani
April 12, 2019 21:32 MYT
April 12, 2019 21:32 MYT
Ciapan Kasthuri Patto baru-baru ini yang menyebut 'Bodoh. Bangang. Selfish' bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu, ciapan itu ditujukan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas.
"Bukan untuk kerabat diraja, bukan untuk golongan monarki, bukan istana. Ia untuk BN dan Pas," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, ciapan Kasthuri menyifatkan mereka yang menolak Statut Rom sebagai "Bodoh. Bangang. Selfish." Bagaimanapun, ciapan itu dipadamkannya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa Kasthuri memadamkan ciapan itu, ini katanya:
"Ia kerana ada orang yang mula menggelar saya dengan nama yang tidak baik. Ada juga yang melibatkan keluarga. Jadi saya rasa tidak perlu nama mereka ini dilibatkan sama."
Beberapa portal sebelum ini mempertikaikan tindakan Kasthuri memadamkan ciapan berkenaan.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendedahkan terdapat usaha memburukkan Pakatan Harapan (PH) dalam meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini.
Sambil tidak mendedahkan 'pihak' tertentu itu, beliau berkata, usaha 'pihak' berkenaan seolah-olah memberi gambaran PH mengkhianati negara dengan perjanjian menandatangani Statut Rom.
#Barisan Nasional
#ICC
#Kasthuri Patto
#Mahathir Mohamad
#Mahkamah Jenayah Antarabangsa
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#PAS
#Statut Rom
#Twitter