Chow Kon Yeow kekal terajui Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang

Bernama
Februari 27, 2025 23:30 MYT
Menurut Chow, pelantikan barisan kepimpinan baharu ini mencerminkan komitmen PH Pulau Pinang dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta memperjuangkan agenda rakyat. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dilantik semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bagi tempoh 2024-2026 dalam Mesyuarat Agung Tahunan gabungan itu yang berlangsung hari ini.
Beliau turut mengumumkan barisan kepimpinan baharu PH Pulau Pinang yang terdiri daripada 33 ahli, dengan setiap parti komponen - DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) - diwakili oleh 11 anggota.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mengekalkan jawatan Timbalan Pengerusi, bersama Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu, merangkap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta Setiausaha Agung Amanah yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Dr. Zaidi Zakaria, serta Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi PH negeri.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dikekalkan sebagai Setiausaha, manakala Pengarah Komunikasi PH Pulau Pinang, Muhammad Hamdi Md Nor, dilantik sebagai Bendahari.
Menurut Chow, pelantikan barisan kepimpinan baharu ini mencerminkan komitmen PH Pulau Pinang dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta memperjuangkan agenda rakyat.
"PH Pulau Pinang yakin bahawa kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh kestabilan politik negeri, memperjuangkan kebajikan rakyat serta memastikan kesinambungan agenda reformasi yang telah digariskan.
"Kami juga menegaskan bahawa kerjasama erat antara parti komponen DAP, PKR, dan Amanah bersama-sama Barisan Nasional akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran berkesan serta pembangunan mampan untuk Pulau Pinang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di sini hari ini.
Chow turut memaklumkan bahawa mesyuarat tahunan PH Pulau Pinang yang sepatutnya diadakan pada 2024 terpaksa ditangguhkan susulan kesibukan jadual.
Pada pemilihan DAP yang lalu, Chow memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang disandangnya selama 25 tahun dengan jawatan tersebut kini diisi oleh Steven Sim.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #DAP #Pakatan Harapan #PKR
;