Chow Kon Yeow kekal Pengerusi DAP Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 21, 2021 20:33 MYT
Mac 21, 2021 20:33 MYT
GEORGE TOWN: Chow Kon Yeow kekal menerajui kepimpinan DAP Pulau Pinang apabila mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi DAP negeri.
Kemenangan itu membolehkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu memimpin parti DAP di negeri itu bagi tempoh dua tahun akan datang.
Kon Yeow memperolehi 1211 undi dalam pemilihan jawatankuasa baharu parti berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dilantik menjadi Timbalan Pengerusi DAP negeri bagi menggantikan penyandangnya, Jagdeep Singh Deo yang dilantik memegang jawatan Naib Pengerusi negeri bersama dengan Zairil Khir Johari.
Adik Lim Guan Eng, Lim Hui Ying mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP negeri.
Wong Hong Wai pula dilantik sebagai bendahari manakala Hng Moon Lye dilantik sebagai Setiausaha Organisasi.
Sementara itu Kon Yeow berharap barisan jawatankuasa baharu yang dipilih itu akan menjadi barisan kepimpinan yang kuat dalam menangani tiga krisis utama negara ketika ini iaitu krisis kesihatan awam, krisis ekonomi dan krisis politik.
Selain itu, beliau percaya pasukan baru ini akan merangka persiapan rapi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Semoga apa yang saya suarakan dalam ucapan aluan saya iaitu kita perlu tunjukan kepimpinan dan menggunakan kekuatan untuk menanggani krisis yg melanda negara iaitu kesihatan, ekonomi dan krisis politik.
"Saya percaya jawatankuasa negeri akan merangka untuk buat persiapan bagi menghadapi PRU akan datang ini dan (kepada) semua ahli negeri, marilah sama-sama hadapi cabaran ini sebagai satu pasukan kukuh demi rakyat dan demi Pulau Pinang dan demi parti DAP," katanya.
Kon Yeow berkata demikian selepas pengumuman pemilihan 15 jawatankuasa DAP Pulau Pinang di Spice Arena pada Ahad.
Sebanyak 1608 undi dikeluarkan namun jumlah undi yang sah adalah sebanyak 1552, manakala undi rosak sebanyak 56 undi.
Sebanyak 44 calon bertanding bagi merebut 15 Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024.