Chini Memilih: Dulu seteru, kini semeja
Fareez Azman
Julai 3, 2020 12:08 MYT
Julai 3, 2020 12:08 MYT
Hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turun berkempen.
Mohamed Azmin hadir dalam program kempen Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Tasik Mentiga pada Jumaat.
Menteri Kanan Ekonomi itu turut dilihat bersarapan semeja dengan bekas perdana menteri keenam itu.
Ini kali pertama Mohamed Azmin dan Najib dilihat bersarapan bersama meskipun pernah menjadi rakan seteru dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Apa masalahnya? Makanan pun sedap.
"Jadi saya, dia (Najib) sebagai Ahli Parlimen Pekan sudah tentulah saya mendapatkan maklumat tentang keadaan semasa di Chini dan Pekan.
"Beliau telah memaklumkan beberapa perkembangan di sini nampaknya cukup baik selesa bagi calon Barisan Nasional," kata Mohamed Azmin ketika ditanya wartawan.
Kata Mohamed Azmin lagi, kehadirannya adalah bagi menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional.
"Rakyat gembira dan saya di sini mewakili rakan-rakan di peringkat Persekutuan (hadir) untuk memberikan sokongan moral kepada calon Barisan Nasional," kata Mohamed Azmin.
Menurutnya, semangat Perikatan Nasional diterjemahkan menerusi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain.
"Barisan Nasional adalah anggota Perikatan Nasional dan sudah tentulah semangat perikatan Nasional harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan, termasuk membantu calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Chini.
"Inilah semangat kita laksanakan dan kita suburkan dalam Perikatan Nasional di mana kita meletakkan kepentingan negara dan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi ataupun kelompok," kata Mohamed Azmin.
Malah, jelasnya, Perikatan Nasional dilihat diterima rakyat dan akan terus membawa kemakmuran kepada semua di negara ini.
#Azmin Ali
#Barisan Nasional
#Calon BN
#DUN Chini
#Menteri Besar
#N23
#Najib Razak
#Parlimen
#Perikatan Nasional
#pilihan raya kecil
#rakyat
#Sarapan
#Tasik Mentiga