Chin Tong bakal jadi Timbalan Menteri?
Astro Awani
Julai 16, 2018 20:28 MYT
Julai 16, 2018 20:28 MYT
Dua daripada lapan nama yang dipercayai bakal memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dan Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy.
Kesemua mereka akan mengangkat sumpah di Dewan Negara sebagai senator, esok.
Pelantikan ini sekali gus menjawab persoalan mengenai satu kerusi menteri dan empat kerusi timbalan menteri yang masih kosong.
Selain Chin Tong dan Waytha Moorthy, enam pemimpin yang akan mengangkat sumpah esok ialah Datuk Ismail Ibrahim dan Pengerusi Parti Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Turut mengangkat sumpah, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya; Datuk Husain Awang; dan Asmak Husin.
Sementara Pensyarah Pengauditan dan Perakunan Forensik dari Univeristi Tasmania, Australia, Dr Mohd Radzi Md Jidin juga merupakan antara nama yang disebut namun, keluarganya masih berada di di luar negara.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan reaksi dari Chin Tong berikutan majlis angkat sumpah tersebut.
Buat masa ini, empat kementerian tidak mempunyai timbalan menteri manakala satu kementerian tidak mempunyai menteri.
Kementerian yang tidak mempunyai timbalan menteri ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Luar Negara.