Chegubard wajib hentikan sandiwara, kata Exco AMK

Astro Awani
November 22, 2014 14:15 MYT
Chegubard (gambar) lantang mengkritik tindakan yang dikenakan terhadapnya dan juga kepimpinan Mohamed Azmin sebagai MB Selangor. - Gambar fail
Kelantangan ahli PKR yang digantung, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mengkritik tindakan yang dikenakan terhadapnya dan juga kepimpinan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mendapat reaksi tegas daripada Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Jestin Raj Savarimuthu.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ketua AMK Cabang Kota Raja itu, niat sebenar Chegubard dipertikaikan terutamanya selepas melontar tuduhan yang tidak berasas berhubung isu surat sokongan dalam pelantikan Menteri Besar selain memalukan nama Parti Keadilan Rakyat.
"Ingin saya nyatakan bahawa apa-apa pun urusan berkaitan perlantikan Menteri Besar adalah isu dalaman parti yang telah diselesaikan secara wajar dan Menteri Besar yang baru telahpun mendapat restu dari Ketua Umum dan President PKR.
"Chegubard tidak seharusnya memanjangkan lagi isu ini dengan membawa masuk isu Surat Akuan Sumpah atau Statutory Declaration atas nama Dr Xavier Jayakumar," ujarnya yang menambah, Naib Presiden PKR itu telah menyangkal dakwaan tersebut dengan mengatakan surat Akuan Sumpah itu adalah palsu dan tandatangan itu bukan milik beliau.
Menurut Jestin, Xavier telahpun membuat laporan polis terhadap Surat Akuan Sumpah palsu pada 16 September 2014, walaupun Chegubard mengatakan tiada laporan polis sehingga kini.
"Saya juga secara keras menyangkal tuduhan Chegubard dengan mengaitkan Azmin dalam tuduhan ini dengan mengatakan 'orang Azmin' terlepas dari sebarang tindakan disiplin.
"Yang lebih penting adalah kita semua menyambut saranan Menteri Besar untuk menghentikan segala politiking kepartian sempit sebaliknya fokus kepada kerja membangunkan Selangor," ujarnya.
Tambah Jestin, rakyat sudah mual dengan segala isu sensasi politik yang sebenarnya tidak memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Lebih-lebih lagi apabila isu itu cuba dicetuskan oleh seorang ahli politik yang bukan Ahli Dewan Negeri dan juga bukan Ahli Parlimen yg dipilih rakyat.
"Saya minta Pimpinan PKR, khususnya lembaga disiplin untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Chegubard dan ahli-ahli parti yang ingkar Perlembagaan Parti," tegas Jestin.
#Azmin Ali #Chegubard #jestin raj savarimuthu #Menteri Besar #PKR #surat pelantikan
;