Charles perlu tarik balik saman - Annuar

Sinar Harian
Oktober 14, 2022 09:40 MYT
Annuar (kiri) berkata saman yang dikemukakan Charles (kanan) bukan saja perbuatan sia-sia dan membuang masa mahkamah, namun juga merupakan satu tindakan mempertikai budi-bicara Yang di-Pertuan Agong. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Penyandang Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago perlu menarik balik samannya terhadap kerajaan kerana membubarkan Parlimen.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) Tan Sri Annuar Musa berkata, Charles juga wajar memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas tindakannya.
"Saman yang dikemukakan Charles bukan saja perbuatan sia-sia dan membuang masa mahkamah, namun juga merupakan satu tindakan mempertikai budi-bicara Yang di-Pertuan Agong," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Menurutnya, dakwaan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tidak mendapatkan pandangan Jemaah Menteri mengenai pembubaran Parlimen itu juga adalah tidak benar.
"Sepanjang kepimpinan, Ismail Sabri amat cermat dalam setiap tindakannya dan sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek perundangan serta perlembagaan," katanya.
Beliau berkata, anggota jemaah menteri khususnya yang mewakili parti sudah memberi pandangan masing-masing.
"Setelah jelas terdapat pandangan yang berbeza, maka adalah wajar Ismail Sabri menyembah maklum dan nasihat ke hadapan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Annuar berkata, Agong mempunyai budi bicara mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Sama ada perkenan membubar atau tidak, baginda tidak terikat menerima atau menolak nasihat Ismail Sabri," katanya.
Pada Selasa, Charles memfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri pada 10 Oktober.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan PRU15.
Dalam permohonannya, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).
Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. -Sinar Harian
#Annuar Musa #bubar parlimen #PRU15 #Charles Santiago saman kerajaan
;