Cemuh UMNO parti 'jahat', Shahril saran Tun M masuk gelanggang PRU15
Afiezy Azaman
September 7, 2022 11:54 MYT
September 7, 2022 11:54 MYT
KUALA LUMPUR: Shahril Hamdan mempelawa kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya bekas Perdana Menteri itu berpendapat parti UMNO 'jahat' dan perlu ditewaskan.
Menurut Ketua Penerangan UMNO itu, UMNO berhak menawarkan diri sebagai parti yang menjanjikan kesetiaan dan kestabilan, justeru, Dr Mahathir tidak perlu mendakwa seolah-olah kesemua ahli parti itu hodoh, bodoh atau kotor.
"Bebenang dan kenyataan panjang Tun Mahathir mencemuh UMNO adalah mengecewakan tetapi tidak juga mengejutkan kerana pendedahan Presiden UMNO bahawa Tun Mahathir pernah memohon UMNO dibubarkan, menyerlahkan tahap kebencian beliau bukan lagi terhadap mana-mana individu dalam UMNO, malah terhadap UMNO itu sendiri. Yakni terhadap akar umbi dan berjuta ahli yang tiada dosa terhadap Tun.
"Jadi ini bukan lagi tentang mana-mana Presiden atau bekas Presiden atau mana-mana pemimpin UMNO. Sedangkan waktu Tun berkuasa dan UMNO masih belum bangkit pada awal era PH (Pakatan Harapan), Tun masih hendak usahakan agar UMNO itu hapus tetapi hasrat itu tak kesampaian kerana istiqamah pemimpin dan ahli," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.
Shahril menulis hantaran itu susulan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengeluarkan kenyataan kritikan terhadap UMNO dan menyeru agar parti terbesar orang Melayu itu ditolak sepenuhnya.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Langkawi itu menyifatkan pemenjaraan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan 'mencuci' parti terbesar orang Melayu itu.
Dr Mahathir sebaliknya, mendakwa, pucuk pimpinan UMNO kini terkenal di seluruh negara kerana terbabit dengan rasuah dan UMNO terpalit dengan kes kecurian berbilion Ringgit wang negara, salah guna kuasa, merosakkan pentadbiran kerajaan dan menghancurkan parti itu sendiri.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa agar UMNO dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.
Mengulas lanjut, Shahril yang juga Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri berkata, Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri pertama yang beliau kenali dan membesar ketika era pentadbirannya.
"Meskipun ada dasar dan pendekatan yang saya kurang bersetuju termasuk sewaktu 22 tahun, saya tidak nafikan beliau ada jasa kepada negara ini. Baik buruk, pasang surut, beliau antara Perdana Menteri yang paling meninggalkan kesan kepada Malaysia. Saya tidak akan nafikan itu.
"Tetapi ini tak bermaksud Tun Mahathir boleh cuba bubar, kemudian cemuh parti UMNO sesedap rasa tanpa kami membalas. Saya faham Tun Mahathir terkenal dengan lidah tajamnya baik di pentas tempatan atau antarabangsa.
"Tetapi harapan saya, selepas ini simpanlah sedikit kekasaran itu supaya tidak ditujukan sepenuhnya kepada institusi yang mana Tun Mahathir pernah menjadi pemimpin dan ahlinya walaupun keluar masuk keluar masuk. Mungkin di sebalik kejayaan hidup Tun Mahathir, ada juga saham dari institusi ini yang menyumbang," kata Shahril lagi.