CEC DAP: Sekurang-kurangnya sembilan kerusi diisi wanita - Anthony Loke

Eton Khir
Mac 9, 2022 19:25 MYT
Loke berkata seramai 4,149 perwakilan akan memilih kepimpinan bagi penggal 2022-2025.- Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya sembilan anggota wanita akan berada dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP meskipun tidak mendapat undian tertinggi dalam pemilihan parti itu akhir bulan ini.
Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook, usaha ini selaras dengan aspirasi negara untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam peranan kepimpinan.
"Jika mempunyai kurang daripada sembilan wanita mendapat undian tertinggi dalam kalangan 30 calon pemilihan kelak, maknanya jika wanita tersebut di nombor 31 atau 32, dia akan secara automatik mengisi tempat itu.
"Usaha itu untuk mencukupkan nombor sekurang-kurangnya adanya sembilan wanita dalam kepimpinan DAP. Jadi itu memberi satu jaminan walau mereka tidak mendapat undi tertinggi, wanita akan tetap diberikan keutamaan sekurang-kurangya 30 peratus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di ibu negara hari ini sempena pengumuman senarai calon Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu pada Rabu.
Dalam pada itu, Loke berkata DAP juga telah meminda perlembagaan parti untuk menambah bilangan anggota CEC daripada 20 kepada 30 orang.
"Dengan pindaan perlembagaan parti baharu, jika dahulu setiap kali pemilihan kita hanya memilih 20 ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP atau pun 20 ahli CEC, namun selepas perlembagaan parti kita dipinda pada kongres yang lalu, maka kali ini kita gunakan peruntukan parti baharu iaitu memilih 30 orang," katanya.
Di samping itu, Loke berkata daripada 93 calon CEC, terdapat 18 orang merupakan calon wanita manakala 75 orang calon lelaki yang akan merebut 30 kerusi pada kali ini.
Antara calon yang bersaing ialah veteran parti Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng dan anak perempuannya Lim Hui Ying serta anak mendiang Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh iaitu Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.
Menjelang pemilihan juga, spekulasi bertiup kencang bahawa Loke bermungkinan menggantikan Guan Eng yang telah menamatkan tempoh maksimum tiga penggalnya sebagai Setiausaha Agung Parti.
Pada masa sama, Loke berkata seramai 4,149 perwakilan akan memilih kepimpinan bagi penggal 2022-2025.
Kongres Kebangsaan DAP akan diadakan pada 20 Mac di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam.
Sebelum ini, kongres itu, yang pada mulanya dijadualkan diadakan pada 20 Jun tahun lalu, ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
#DAP #COVID-19 #shah alam
;