CEC DAP: Anthony Loke iltizam bawa pendekatan inklusif
Harits Asyraf Hasnan
Mac 20, 2022 21:00 MYT
Mac 20, 2022 21:00 MYT
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke beriltizam untuk membawa pendekatan inklusif dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP 2022-2025 yang dipilih hari ini.
Menurutnya, beliau akan menyatupadukan seluruh kekuatan parti dengan penglibatan setiap pemimpin DAP sama ada yang berada di dalam atau di luar CEC.
"Dalam DAP ada banyak bakat dan kekuatan, sekali gus membawa pendekatan dalam tradisi kita (DAP), sebuah parti inklusif supaya setiap pemimpin DAP sama ada dalam CEC atau tidak, mereka akan bersama mainkan peranan untuk bawa parti lebih kuat.
"Mandat dan kepercayaan yang diberi kepada saya akan saya pastikan bahawa pendekatan kepimpinan yang akan dibawa adalah untuk menyatupadukan kekuatan yang ada dalam parti," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.
Tambah Ahli Parlimen Seremban itu lagi, CEC juga akan membentuk beberapa jawatankuasa dan biro supaya setiap pemimpin yang dipilih dan tidak berportfolio mempunyai peranan khusus dalam parti.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata pemilihan CEC kali ini merupakan cerminan kepada generasi ketiga DAP yang akan terus memacu parti itu.
"Sebagai Setiausaha Agung baharu, saya melihat bahawa keputusan hari ini dan juga kepimpinan yang dilantik hari ini merupakan satu fasa baharu untuk DAP.
"Ini adalah satu era kepimpinan generasi ketiga dalam DAP," katanya.
Anthony Loke dilantik ke jawatan itu selepas berada di kedudukan ketiga pemilihan CEC apabila meraih 1,625 undi.
Beliau berada di belakang Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (1,782) undi dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan 1,641 undi.