Cari titik persamaan MKT, Ahli Parlimen: UMNO perlu ketepi kepentingan peribadi
Astro Awani
Ogos 16, 2021 12:41 MYT
Ogos 16, 2021 12:41 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli-ahli Parlimen UMNO perlu mencari titik persamaan dan mengenepikan kepentingan peribadi dalam soal menentukan hala tuju negara.
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata keputusan secara muafakat penting yang akhirnya bukan sahaja menguntungkan parti, tetapi yang lebih penting menyelamatkan nasib rakyat.
"Dari segi luaran, memang kita lihat seolah-olah ada permasalahan di antara Ahli Parlimen UMNO dan MKT UMNO dari segi menentukan hala tuju dan sokongan yang perlu dibuat oleh parti.
"Cuma saya yakin, permasalahan dan ketegangan ini dapat dileraikan dalam waktu terdekat.
"Akhirnya, blok MKT UMNO atau Ahli Parlimen UMNO akan mencapai satu kata sepakat bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi kepentingan parti dan akhirnya ia diterjemahkan untuk membela dan mengangkat nasib rakyat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Isnin.
[TERKINI] Kenderaan bawa Muhyiddin keluar dari Perdana Putra
Ditanya berkenaan siapa yang layak dinamakan sebagai Perdana Menteri dari UMNO, Rizalman secara peribadi melihat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan individu paling layak.
Pada masa sama, beliau berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh berlapang dada untuk menerima segala keputusan yang dibuat oleh parti.
"Saya fikir, Presiden UMNO perlu berlapang dada untuk memberi laluan kepada individu-individu yang layak (menjadi Perdana Menteri) atas permasalahan yang sedang dihadapi.
"Kalau kita tengok yang berada terkanan sekarang ini dan juga berada dalam kerajaan ialah Ismail Sabri sebagai Naib Presiden.
"Saya fikir kalau diletakkan nama Ismail Sabri, mungkin ia boleh diterima di peringkat parti dan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)," tambahnya.
Justeru beliau yakin, defisit kepercayaan rakyat terhadap UMNO yang semakin rapuh mampu dipulihkan kembali dalam masa terdekat apabila segala permasalahan diselesaikan.
[INFOGRAFIK] Kedudukan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Setakat 12 Ogos 2021)
Astro AWANI sedang memantau perkembangan terkini situasi politik di dalam negara dari masa ke masa.
Penstriman langsung ada di Saluran 501, aplikasi Live TV dan platform media sosial Astro AWANI sepanjang hari ini.
#Barisan Nasional
#ismail sabri yaakob
#Datuk Rizalman Mokhtar
#calon perdana menteri
#Zahid Hamidi
#Calon PM
#Muhyiddin Yassin