Cameron Highlands memang kubu kuat BN - Tun M

Firdaus Azil
Januari 28, 2019 18:33 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad menurunkan tandatangan simbolik merasmikan Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) bertemakan -BBP Wibawa Pemacu Malaysia Baharu- hari ini. - Foto BERNAMA
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands adalah kerana mereka menggunakan isu perkauman untuk mempengaruhi sokongan pengundi di situ.
Selain itu, jelas Perdana Menteri lagi, kawasan berkenaan memang sudah menjadi kubu kuat UMNO dan BN, memandangkan demografinya yang melibatkan kawasan luar bandar.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata PH akur pada keputusan PRK itu dan mereka hormat pada pilihan pengundi di Parlimen itu.
“Pada PRU lepas, UMNO dapat kemenangan tinggi tetapi tak boleh jadi kerajaan. Maknanya ia tak mengejutkan, ini (Cameron Highlands) merupakan kawasan luar bandar dan merupakan kekuatan mereka, permainan isu perkauman. Ini keputusan rakyat, dan kita terima,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, katanya lagi, PH perlu lebih berusaha mencari bagaimana caranya untuk memahami keluh kesah mereka, termasuk isu-isu yang masih mempengaruhi pengundi.
“Kami mesti tahu apa yang menghimpit mereka. Kami tahu antaranya kos kehidupan yang meningkat. Bagi orang kaya tak ada apa-apa, bagi orang miskin ia masalah besar.
“Mereka orang susah, hidup di luar bandar... jadi kami perlu cari cara untuk kurangkan kos dan juga bantu mereka mendapat pendapatan lebih baik,” katanya lagi.
Mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa ramai pengundi terutamanya di luar bandar masih ingat Dr Mahathir masih Perdana Menteri dari BN, beliau tidak menafikan perkara itu.
“Ya saya ada dengar-dengar juga. Tak apa lah, lambat laun mereka akan tahu,” katanya lagi.
BN berjaya mengekalkan kerusi tradisinya pada PRK Cameron Highlands, Sabtu lalu, apabila calonnya Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238.
BACA: BN kekalkan kerusi Cameron Highlands, Manogaran kalah lagi
Kemenangan Ramli mencipta sejarah apabila calon tunggal Orang Asli ini berjaya melangkah masuk ke Dewan Rakyat.
#BN #Cameron Highlands #kubu kuat #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #PH #pilihan raya kecil #UMNO
;