Calon wanita BN Gopeng kesal, wajahnya dilukis 'misai'

Nazialita Geynna Maharan
Mei 3, 2018 16:37 MYT
Seai Kie menunjukkan poster wajahnya yang dilukis misai dipasang di sekitar Kopisan, Gopeng, pada malam Rabu.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng, Datuk Heng Seai Kie kesal dengan perbuatan khianat pihak yang menconteng poster wajahnya yang dipasang di sekitar Kopisan, Gopeng, pada malam Rabu.
Menurut Seai Kie, beliau cukup kesal apabila poster kempennya telah diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan melukis gambar misai pada wajah.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis berhubung tindakan tersebut yang dianggap biadap ketika berkempen pada pilihan raya umum kali ini.
"Pasukan gempur BN yang membuat rondaan terjumpa ada bendera daripada pembangkang yang telah jatuh dan sebagainya. Mereka diingatkan untuk bantu tegakkan semula walaupun itu bendera pembangkang.
"Tetapi apa yang diamalkan pihak pembangkang adalah berbeza dajn ini amat dikesali. Bagi saya sebagai calon wanita ini adalah satu tindakan keganasan ke atas wanita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Padang Taman Tasek Permai, Kampung Sungai Terap di sini pada malam Rabu.
#Barisan Nasional #Datuk Heng Seai Kie #Gopeng #isu semasa #khianat #Kopisan #Malaysia Memilih #menconteng #misai #Pasukan gempur BN #poster
;