Calon UMNO ganti MIC di PRK Cameron Highlands?
Astro Awani
Januari 8, 2019 15:59 MYT
Januari 8, 2019 15:59 MYT
UMNO dijangka meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini.
Menurut sumber, calon itu dikatakan nama besar yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Dikatakan ada perbincangan diadakan selain tular di sistem pesanan WhatsApp parti mengenai isu ini.
"Pelbagai pandangan diberi, ada yang melihatnya positif namun tidak kurang juga yang melihatnya hanya khabar angin semata-mata.
"Kekuatan nama ini untuk menjadi calon juga sedang dipertimbangkan namun ada kemungkinan juga namanya tidak 'naik' dan MIC akan kekal meletakkan calon mereka di sana," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Januari ini sebagai hari penamaan.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Naib Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran sebagai calon mereka pada PRK tersebut.
Selain M. Manogaran, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas turut menyatakan hasratnya untuk bertanding pada PRK berkenaan.
Kata Kayveas, keputusan yang diambil parti itu merupakan yang pertama selepas mereka keluar dari BN pada 19 Mei 2018, selepas BN kalah dalam PRU14.
Dalam pada itu, seorang lagi sumber memberitahu MIC sedang mengenal pasti siapa calon yang benar-benar 'kuat' untuk menjadi calon di Cameron Highlands.
Katanya, MIC tetap akan meletakkan calon mereka dan desas-desus UMNO akan bertanding di sana hanyalah khabar angin semata-mata.
Sebuah portal sebelum ini menyatakan kelewatan BN menamakan calon PRK Cameron Highlands berikutan wujud rundingan dengan MIC untuk meletakkan calon UMNO.
Portal itu memberitahu sumber MIC berkata pemimpin kedua-dua parti bertemu Ahad lalu dan mereka memutuskan calon PRK itu daripada UMNO sekali gus memecahkan tradisi sejak 2004.
Majlis pengumuman calon BN untuk PRK Cameron Highlands akan diadakan pada Khamis ini.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad memaklumkan ia akan diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.