Calon Tun M sebagai PM 'tawaran' berani, namun belum pasti diterima - Ilham Centre
Firdaus Azil
Januari 7, 2018 19:42 MYT
Januari 7, 2018 19:42 MYT
Kesediaan Pakatan Harapan (PH) memilih Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, masing-masing sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, merupakan satu keputusan yang berani, namun ia dilihat tidak mampu mempengaruhi sentimen pengundi luar bandar sewaktu Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
Penganalisis dari Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, tawaran itu akan memberi impak yang hanya memberi signifikan kepada majoriti pengundi Melayu di kawasan bandar dan separa bandar.
“Tawaran (penamaan dua calon itu) itu sebenarnya tawaran paling jelas untuk menghantar mesej kepada pengundi tentang anjakan perubahan di kawasan majoriti Melayu. Impaknya akan melebar daripada situasi sedia apabila Pakatan Harapan memperkukuhkan serangan sewaktu tempoh berkempen nanti.
“Tetapi, pengumunan ini tidak lah ada impak besar jika diukur pada skala segmen pengundi luar bandar, kerana faktor Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri bukan sesuatu yang besar, tetapi tawaran blok mana yang lebih dominan untuk menyelesaikan masalah yang lebih dekat di hati mereka,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman yang disampaikan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah sewaktu Konvensyen kali kedua gabungan itu, di Shah Alam.
Dalam pada itu, Saifuddin, turut mengumumkan langkah Pakatan Harapan untuk memohon Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta memastikan beliau terus dicalonkan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Selain itu, turut diumumkan ialah pengagihan 165 kerusi parlimen di kawasan Semenanjung, di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperolehi 52 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (51), Parti Tindakan Demokratik Malaysia (35) dan Parti Amanah Negara (27).
Mengulas mengenai usaha menjadikan Anwar sebagai perdana menteri seterusnya, Hisommudin berkata, ia mempunyai risiko untuk dijadikan sebagai bahan seteru politik mereka iaitu Barisan Nasional, memandangkan tindakan membebaskan Anwar memerlukan langkah perundangan yang kompleks.
“Maka syarat itu pada pemgamatan saya, sepatutnya Pakatan Harapan tidak letak secara bertulis, kerana proses itu melibatkan uncertainties, tetapi mereka mungkin meletakkannya ekoran wujudnya tekanan yang perlu ditenteramkan,” katanya lagi.
Mengenai dominasi kerusi milik PPBM di kawasan Semenanjung, penganalisis itu berkata, ia memberi mesej terutamanya kepada UMNO bahawa PPBM yang akan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera, yang selama ini dipegang oleh parti pemerintah dominan dalam Barisan Nasional itu.
#Anwar Ibrahim
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#Bumiputera
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#Parti Keadilan Rakyat
#Perdana Menteri
#PPBM
#Saifuddin Abdullah
#Timbalan Perdana Menteri
#UMNO