Calon PRU14:'Berita baik untuk saya? Masih terlalu awal...'- Shahrir

Rahimah Abdullah
April 16, 2018 16:01 MYT
Tan Sri Shahrir Abdul Samad ditemui media selepas selesai sesi Taklimat Khas Perdana Menteri dengan ahli parlimen BN di Seri Perdana. Gambar Astro AWANI
Penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan sudah menerima 'berita baik' daripada pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebaliknya, beliau melihat perkara itu masih terlalu awal dan pertemuan ahli parlimen BN yang lain dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pagi tadi hanya sesi penghargaan kepada wakil rakyat parti itu.
"Apa dia berita baik untuk saya tu? Belum sampai ke situ. Masih terlalu awal lagi kan. Pertemuan tadi hanya taklimat biasa," katanya kepada media di luar Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Shahrir yang juga Pengerusi Felda adalah antara individu yang disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon PRU14 mewakili BN.
Malah, Perdana Menteri semasa pertemuan tertutup dengan perwakilan UMNO Bahagian Johor Bharu, telah meminta Shahrir sekali lagi bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru.
#Barisan Nasional #calon #Felda #Johor Bahru #Malaysia Memilih #Media #menteri #Najib Razak #Parlimen #pemilihan #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #rakyat #UMNO
;