Calon PRK Chini tidak lepas peluang bertemu pengundi
Fareez Azman
Jun 21, 2020 00:11 MYT
Jun 21, 2020 00:11 MYT
Kempen normal baharu menjadi cabaran setiap calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini.
Meskipun aktiviti berkempen perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setiap calon tidak melepaskan peluang untuk bertemu pengundi sehingga Ahad malam.
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain mengadakan pertemuan dengan Persatuan Anak Jati Tembeling di Felda Chini Timur Satu.
Sharim ketika ditemui berkata, meskipun kempen kali ini berbeza berbanding pilihan raya kecil terdahulu, beliau yakin ia tidak akan melemahkan sokongan yang bakal diterimanya menjelang 4 Julai depan.
"Atas pengalaman sebelum ini terlibat dalam jentera Barisan Nasional (BN) DUN Chini, pastinya kali ini amat berbeza tapi apapun kita mematuhi peraturan ini demi masyarakat semua.
"Alhamdulilah, pengundi berjumpa saya dan menyambut baik serta menerima dan menyokong untuk membantu saya berkempen sempena 13 hari sebelum hari pengundian 4 Julai depan," katanya.
Manakala bagi calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, kedai makan di Chini 1 menjadi lokasi beliau beramah mesra dengan pengundi terutamanya anak muda.
Cabaran normal baharu berkempen dengan jentera yang minimum serta penjarakan sosial itu satu perkara baharu ketika pilihan raya kecil.
"Adat kita orang Melayu apabila berjumpa memang kalau boleh nak bersalaman. Kalau hormat orang tua kita akan cium tangan, tapi sekarang dengan normal baharu.. cara baru memang susah sikit, tapi lama-kelamaan akan jadi kebiasaan insya-Allah," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Ujarnya, kempen hari pertamanya sebagai calon mendapat sambutan baik oleh masyarakat di sekitar kawasan itu.
"Kebanyakan pengundi disini (DUN Chini) memberi sokongan kepada saya walaupun sebagai calon bebas. Bila berjumpa dengan saya, mereka meluahkan perasaan apa yang tersembunyi di hati, jadi saya rasa Alhamdulilah respons daripada mereka," katanya.
#Barisan Nasional
#calon Bebas
#Calon BN
#Chini Memilih
#DUN Chini
#N23
#normal baharu
#penjarakan sosial
#pilihan raya kecil
#PRK
#SOP
#Suruhanjaya Pilihan Raya