Calon PN kata rakyat tak dapat kasih sayang, calon PH balas selalu bertemu rakyat

Ridauddin Daud
Ogos 11, 2023 20:05 MYT
Pertembungan dua sepupu di DUN Klawang itu menjadi semakin hangat di penghujung kempen dengan kedua-dua calon bergerak pantas untuk meraih undi masyarakat. - Bernama/Astro AWANI
JELEBU: Rakyat perlu rasakan kembali kasih sayang wakil rakyat.
Demikian komen calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Danni Rais ketika ditanya antara perkara utama perlu dibawa kepada penduduk di kawasan itu.
Menurut Danni, beliau bertemu ramai rakyat di DUN tersebut dan mereka mendakwa wakil rakyat terdahulu tidak begitu banyak ‘turun padang’.
“Saya rasa perlu beri tumpuan kepada benda yang paling asas, kurang kasih sayang kepada rakyat.
“Saya rasa amat penting untuk rakyat rasa semula kasih sayang daripada wakil rakyat, contohnya dari aspek kebajikan. Ini perkara yang sangat-sangat asas.
“Kita harus menjaga perkara ini…kalau tidak kenapa kita panggil diri kita wakil rakyat. Dari segi pembangunan pun, pelbagai isu juga boleh dibangkitkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Begitupun, penyandang kerusi tersebut yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di DUN tersebut, Datuk Bakri Sawir menegaskan, semasa menjadi ADUN, beliau menetapkan hari Khamis pada setiap minggu sebagai hari untuk bertemu rakyat di DUN Klawang.
“Mungkin dia melihat dari sudut yang saya tidak pasti dari mana. Tapi dari kajian yang kita buat Rabu lepas, saya diterima sebanyak 68 peratus.
“Maknanya penduduk di sini menerima saya. Sekiranya mereka katakan susah bertemu saya, maknanya mereka tidak melihat jadual saya.
“Saya meletakkan hari Khamis itu, kalau tiada apa-apa perkara penting, saya khaskan satu hari (pada Khamis untuk bertemu rakyat). Saya berada di sini, siapa-siapa sahaja boleh datang,bertemu dengan saya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian.
Beliau mengatasi Baharuddin Jali daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.
#Negeri Sembilan #PRN #PN #PH #wakil rakyat
;