Calon PM: Saya tak sedia, tak bercita-cita - Sanusi

Hasimi Muhamad
September 13, 2024 19:24 MYT
Muhammad Sanusi mengulas pandangan perwakilan Pemuda Pas yang antaranya mencadangkan namanya sebagai calon Perdana Menteri. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan tidak bersedia dan tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri walaupun wujud cadangan agar beliau menduduki jawatan nombor satu di Putrajaya.
Sebaliknya, Pengarah Pilihan Raya Pas itu meminta agar mencari orang lain, selain menegaskan dirinya orang parti yang hanya akan mengikut arahan kepimpinan.
"Saya ini orang parti... Saya tiada target (sasaran) untuk diri sendiri. Parti yang susun saya.
"Kalau parti suruh saya jaga cawangan, saya jaga cawangan. Parti suruh duduk di negeri, saya jaga negeri. Saya tiada cita-cita peribadi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas di Temerloh, Pahang hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan perwakilan Pemuda Pas yang mencadangkan Muhammad Sanusi sebagai calon Perdana Menteri, selain Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ditanya sama ada beliau pernah terfikir untuk dicalonkan memegang jawatan penting itu, beliau menambah: "Tak pernah... calon pilihan raya pun tak pernah".
Jelas Muhammad Sanusi lagi, beliau tidak akan menonjolkan diri untuk memegang jawatan tertentu, seperti yang didakwa dilakukan oleh beberapa pemimpin parti lain.
"Saya tak ada cita-cita untuk jadi apa-apa dalam hierarki kepimpinan, parti yang akan tentukan saya.
"(Keputusan) Parti ini daripada mesyuarat dan (maklum balas) orang ramai... Bukan saya duk pergi 'jolok' diri saya sendiri seperti kepimpinan lain dalam UMNO," katanya lagi.
#Sanusi calon PM #Sanusi tak sedia jadi PM #Muktamar Pas 2024 #cita-cita
;