Calon PM kesembilan: Tajuddin dakwa Ku Li 'dipermainkan' Zahid

Sinar Harian
Jun 27, 2022 23:22 MYT
Tajuddin tidak menjelaskan bagaimana Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li 'dipermainkan' Ahmad Zahid. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah 'dipermainkan' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu parti memutuskan senarai nama calon Perdana Menteri untuk dihantar kepada Istana Negara, tahun lalu.
Jelas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, apabila bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada Ogos 2021 susulan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya, Ahmad Zahid melalui MKT parti didakwa mengemukakan namanya sendiri, Tengku Razaleigh dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.
Menurutnya, keputusan Ahmad Zahid sebagai ketua parti dibuat setelah Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli Parlimen mengemukakan senarai calon Perdana Menteri baharu kepada Istana Negara bagi menggantikan Muhyiddin.
Bagaimanapun, Tajuddin tidak menjelaskan bagaimana Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li 'dipermainkan' Ahmad Zahid susulan pendedahan nama Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan sebagai salah satu daripada tiga calon Perdana Menteri daripada UMNO itu.
"Apabila Yang di-Pertuan Agong meminta tiap-tiap ahli Parlimen menghantar senarai nama calon Perdana Menteri pilihan masing-masing kepada Seri Paduka baginda.
"Zahid melalui MKT UMNO bertindak menyenaraikan Tengku Razaleigh, nama dia dan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka.
"Hakikatnya Zahid yang mahukan jawatan Perdana Menteri itu sampai Ku Li pun kena 'main'," dedahnya dalam satu sidang media khas di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Pada 18 Ogos 2021, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan hanya nama Ismail Sabri yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kesembilan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Artikel asal di Sinar Harian.
#politik #UMNO #pendedahan #Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
;