Calon PM ke-9: 17 Ahli Parlimen GPS, satu Bebas selesai menghadap Agong secara maya

Shafik Ahmad
Ogos 19, 2021 12:59 MYT
Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) tidak mendedahkan nama calon Perdana Menteri yang diberikan dan menyerahkan kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkannya. - Foto Astro AWANI.
KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah secara maya di sebuah hotel di sini hari ini.
Bagaimanapun hanya 17 ahli parlimen GPS menghadap secara atas talian. Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berada di Kuala Lumpur dijangka menghadap Agong di Istana Negara.
Turut menghadap secara maya, Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang dari kerusi Bebas.
Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditemui selepas menghadap Agong berkata pihaknya dipanggil seorang demi seorang bagi mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri ke-9.
“Yang di-Pertuan Agong telah memanggil semua Ahli Parlimen yang telah membuat Perakuan Sumpah untuk mengesahkan pertama sekali kandungan Perakuan Sumpah dan mengesahkan bahawa apa pilihan kita ini, adakah ia atas rela hati, dan itulah pengesahan yang dibuat tadi.
“Kami ada 18 orang tadi mengesahkan bahawa kita sudah memilih calon Perdana Menteri dan mengesahkan bahawa calon yang kita pilih ini atas rela hati daripada setiap Ahli Parlimen, GPS khususnya dan juga Ahli Parlimen Sarawak, yang Bebas tadi pun ada juga,” katanya ketika ditemui media di perkarangan hotel tersebut.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
BACA: Calon PM ke-9: Ahli Parlimen UMNO, Bersatu tiba menaiki bas ke Istana Negara
Politik | Pemimpin GPS mengadap Agong secara dalam talian
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama calon Perdana Menteri yang diberikan dan menyerahkan kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkannya.
Pertemuan bermula dari jam 10 pagi itu selesai sekitar jam 11.30 pagi bersama 18 Ahli Parlimen tersebut. Proses pengesahan ini masih berlangsung dan dijangka akan diteruskan sehingga pukul 5 petang nanti.
#Fadillah Yusof #Perdana Menteri #GPS #Sarawak #Yang di-Pertuan Agong #Kuala Lumpur #Bintulu #Parlimen #Jugah Muyang #Lubok Antu #Politik Malaysia
;