Calon PKR tanding PRK Sungai Kandis - Tun Dr Mahathir
Bernama
Julai 6, 2018 14:05 MYT
Julai 6, 2018 14:05 MYT
Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan calon daripada PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, Isnin lalu.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setakat ini masih belum ada senarai pendek calon yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan.
"Seorang daripada wakil rakyat kita meninggal di Sungai Kandis dan kita akan buat persiapan untuk adakan pilihan raya kecil dan calon PH adalah daripada PKR," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini hari ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata untuk PRK Sungai Kandis, calon berkenaan akan menggunakan simbol dan bendera parti PKR.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini parti masih belum menerima senarai nama calon daripada PKR Selangor untuk PRK berkenaan.
"Sehingga kini kami belum terima nama-nama (calon). Sejurus setelah terima (senarai nama calon) pimpinan (PKR) pusat akan muktamadkan dan kemudiannya memaklumkan dan dapat persetujuan daripada pimpinan PH dan setelah itu barulah proses pengumuman (nama calon) dilakukan," katanya.
Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 11.10 pagi akibat kanser limfoma.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Sungai Kandis pada Isnin ini.
-- BERNAMA
#calon
#Mahathir Mohamad
#Mat Shuhaimi Shafiei
#meninggal dunia
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#PKR
#Saifuddin Nasution Ismail
#sungai kandis