Calon Pengerusi PKR P. Pinang masih belum ditentukan - Anwar
Bernama
November 24, 2018 04:59 MYT
November 24, 2018 04:59 MYT
Jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang akan diumumkan hanya selepas semua pandangan cabang-cabang parti dikumpul dan diambil kira, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pelantikan jawatan itu akan mengikut proses parti yang betul dan PKR tidak akan terdesak untuk mengumumkan calonnya dalam tempoh masa terdekat.
"Jawatan itu belum ditentukan lagi dan saya akan ikut proses bertanya pendapat orang-orang negeri... jadi tiada terdesak untuk saya umumkan.
"Saya akan panggil mesyuarat, mereka (cabang-cabang) bagi cadangan. Kita perlu tanya cabang PKR negeri untuk mengambil pendapat mereka dan kita akan pilih ikut kemahuan daripada itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR di Pejabat Masjlis Perbandaran Seberang Perai pada Sabtu.
Dalam mesyuarat itu Anwar berkata, beliau mengingatkan semua agar mereka memperkuatkan parti di semua peringkat.
"Kita kena pantau semua projek pembangunan di peringkat negeri dan persekutuan agar ia sampai kepada rakyat. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang ada," katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berpendapat perhimpunan bantahan kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak perlu diteruskan kerana kerajaan telah memuktamadkan untuk tidak meratifikasinya.
"Sebelum ini, kita pernah berhimpun menolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), berhimpun untuk meminta pilihan raya yang bersih serta berhimpun untuk menolak kezaliman.
"Kalau nak berhimpun pun, biarlah di atas sebab yang munasabah.. sebab ini (perhimpunan) merupakan satu gimik politik nakal pihak pembangkang walaupun keputusan kerajaan telah menolak perkara berkenaan," katanya.
Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tidak akan meratifikasi Konvensyen ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, yang didalamnya sudah termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#ICERD
#parti
#Pengerusi PKR
#Pengerusi PKR Pulau Pinang
#perhimpunan
#PKR
#politik
#projek pembangunan
#pulau pinang
#ratifikasi