Calon muda PRU15: BN perlu sedia terima kritikan - Penganalisis

Wan Syamsul Amly
Ogos 27, 2020 10:00 MYT
Sivamurugan berkata, paling penting kini, gabungan itu perlu melihat calon yang diletakkan nanti mempamer wajah dari parti yang mereka wakili. - Gambar hiasan
Barisan Nasional (BN) perlu melihat secara menyeluruh dan sedia menerima kritikan jika mahu meletakkan calon muda, berbanding orang lama yang sudah mempunyai jawatan dan kepentingan tertentu di dalam parti, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, paling penting kini, gabungan itu perlu melihat calon yang akan dinamakan mempamerkan wajah dari parti yang mereka wakili.
"Jika calon muda tidak diberikan peluang, maka sukarlah untuk kita melihat kemampuan mereka, kewibawaan mereka. Bagaimanakah kita mahu memberikan pengiktirafan kepada keupayaan mereka sebagai seorang pemimpin jika tidak diuji?
"Sudah pasti akan ada yang merasakan, belum tiba masanya, tetapi bilakah masanya itu?
"Apakah kita masih mahu terikat dengan mentaliti konvensional bahawa pemimpin muda harus menunggu masa yang lebih lama atau kita sudah membuka ruang kepada kedudukan serta perubahan yang sedang berlaku?" soalnya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, beliau yakin pengundi dan masyarakat boleh menerima seorang muda sebagai calon sekiranya mereka menunjukkan kewibawaan dan perwatakan sebagai pemimpin.
"Bermakna, parti harus menyaring calon yang benar-benar berkelayakan dan bukannya tangkap muat. Barulah masyarakat boleh percaya dan yakin terhadap calon itu.
"Malah, parti harus bersedia menerima kritikan jika sekiranya mahu menolak calon-calon tertentu, kerana sudah pasti mereka yang mempunyai jawatan dalam parti atau mempunyai kepentingan tertentu merasakan mereka lebih layak daripada calon muda.
"Tetapi, kita perlu lihat secara menyeluruh kedudukan demografi, geografi yang sedang berubah untuk membolehkan calon muda diangkat," tambahnya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyasarkan 40 peratus calon yang mewakili parti itu dan BN dalam PRU akan datang terdiri daripada pemimpin muda.
Beliau berkata, bagi merealisasikan perkara tersebut, Pemuda UMNO harus membuat persediaan awal bagi melahirkan pemimpin berkualiti dalam menggalas tanggungjawab berkenaan.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, pengundi akan terus menyokong calon muda jika BN menggunakan strategi yang sesuai.
Jelasnya, ia tidak bermakna calon lama dipinggirkan, namun perlu dilihat dari aspek kesinambungan, keserasian serta peralihan yang tersusun, licin dan lancar dalam mengemudi BN agar kekal diterima masyakarakat.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC R Thinalan menegaskan, parti itu sudah mula mengenal pasti calon-calon muda yang berwibawa dan disukai rakyat untuk PRU15 kelak.
"Calon muda yang akan kita letakkan pada PRU akan datang kena berwibawa, ada kemahiran dan disukai rakyat.
"Sebab itu, kita pastikan di tempat-tempat yang akan kita tandingi itu, presiden sudah meneliti senarai calon dan meminta calon-calon tersebut untuk buat kerja lebih awal lagi.
"Inilah satu matlamat parti kita, iaitu pergi berkenalan dengan rakyat lebih awal dan pada masa sama, kita kena buat kerja dengan tepat," katanya.
"Kita beritahu semua calon muda kita, pergi ke sana dan kenali rakyat, bantu mereka. Kalau kita boleh buat, kita bantu mereka untuk mendekati hati rakyat," tambahnya.
Setiausaha Pemuda BN Md Fadzmel Md Fadzil pula melihat kepada keperluan UMNO dan BN sendiri untuk menampilkan muka baharu bagi memastikan parti terus relevan.
Bagaimanapun, ujarnya, gandingan lama tidak harus dilupakan untuk mendekati hati rakyat secara menyeluruh.
"UMNO dan BN perlu menampilkan muka baharu bagi memastikan parti ini terus relevan dan kembali mendapat sokongan anak muda," katanya.
Tegasnya, perkara ini sangat penting kerana anak muda ketika ini melihat perubahan yang akan dilakukan oleh BN.
Oleh itu, penting supaya wakil-wakil daripada anak muda diangkat menjadi sebahagian pembuat polisi dalam memastikan usaha membina negara terus diperkasa.
"Namun, gandingan yang lama dan baru amat penting dalam memastikan UMNO dan BN terus dapat mendekati hati rakyat secara menyeluruh.
"Penting juga ia disusuli dengan pemilihan calon-calon, tidak kira muda atau yang lebih dewasa, yang mempunyai personaliti berwibawa, berpotensi dan disukai rakyat," kata Md Fadzmel.
#ahli politik #anak muda #Barisan Nasional #calon #lama #Md Fadzmel Md Fadzil #MIC #muka baru #politik #PRU #PRU15 #R Thinalan #rakyat #Sivamurugan Pandian #UMNO #wibawa
;