Calon muda penting untuk kesinambungan kepimpinan negara - Penganalisis
Firdaus Azil
Mac 12, 2018 18:04 MYT
Mac 12, 2018 18:04 MYT
Dengan perubahan segmen masyarakat, di mana sekitar 2 juta pengundi baharu didaftarkan antara 2013 hingga 2017, bilangan calon muda perlu diperbanyakkan, kata penganalisis politik UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.
Katanya lagi, trend di beberapa negara maju menunjukkan kebanyakan pemimpin muda mula mendapat tempat di peringkat yang lebih tinggi sesuai dengan dinamika dan kompleksiti masyarakat yang banyak berubah.
“Dalam konteks politik tanah air, memang calon muda itu sering diperkenalkan dari semasa ke semasa, tetapi trendnya ialah mereka yang lebih berusia, lebih berpengalaman dikekalkan.
“Tetapi seperti yang sedia maklum, pemimpin muda itu mungkin lebih disenangi dalam kalangan pengundi muda memandangkan mereka dilihat lebih ‘less-protocol’, dan ‘less-traditional’,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sebelum ini beberapa pemerhati memberi saranan bahawa calon muda perlu lebih banyak ditampilkan agar ada kesinambungan dalam kepimpinan.
Tanpa menafikan sumbangan dan pengalaman wakil rakyat yang lebih berusia, mereka berkata, calon muda juga perlu diberi pendedahan yang lebih meluas.
Mengulas lanjut, Dr Nadzri berkata, sering juga berlaku soal tidak puas hati sekiranya calon muda itu ‘melanggar’ orang yang lebih lama, terutamanya di sebelah Barisan Nasional, namun keputusan akhir masih di tangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN.
Berdasarkan statistik jumlah pengundi pada suku tahun kedua 2016, pengundi muda berusia antara 21 hingga 29 tahun berjumlah 1.9 juta orang.
Kategori umur 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 3.2 juta, dengan keseluruhan pengundi muda 5.1 juta daripada 13.6 juta pengundi seluruh negara.
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#calon muda
#Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#penganalisis politik
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#PRU
#PRU14
#UKM