Calon muda mampu cetus perubahan di Parlimen Paya Besar

Astro Awani
Mei 2, 2018 20:57 MYT
Menurut Ashraf, perubahan sikap pengundi kali ini berkait rapat kepada pelbagai isu nasional yang gagal dijawab oleh pemerintah. - Gambar Facebook Ashraf Mustaqim
Calon muda bertanding kerusi P.084 Parlimen Paya Besar, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mewakili Pakatan Harapan mampu mencetus perubahan berikutan kelompok besar pengundi bawah usia 40 tahun di kawasan tersebut.
Dengan komposisi pengundi berjumlah sekitar 60 peratus bagi pengundi bawah 40 tahun, Mohd Ashraf berkeyakinan merampas kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional.
Jelas beliau, pengundi muda yang ditemui sepanjang tempoh berkempen memperlihatkan satu sikap yang tertarik kepada idea-idea kepimpinan baharu yang diharap akan membuka pelbagai peluang ekonomi berasaskan teknologi.
“Pemimpin muda memiliki kelebihan iaitu idea-idea pembaharuan dan juga gaya kepimpinan yang mudah diterima pengundi.
"Contohnya, ketika berkempen di kawasan FELDA, saya menawarkan pelbagai pembaharuan seperti penerokaan kegiatan ekonomi baharu, penggunaan teknologi yang meluas untuk mempercepatkan kerja di ladang dan juga pembukaan pusat-pusat kegiatan ekonomi untuk memberi peluang lebih besar kepada warga FELDA.
"Saya dapati, pengundi yang hadir mendengar ceramah, berdialog dengan saya dan bersoal jawab lebih berminat mengetahui apakah pembaharuan atau idea baharu yang mampu ditawarkan,” jelas beliau.
Mohd Ashraf yang berusia 32 tahun bertanding kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini untuk merebut kerusi Parlimen Paya Besar, kawasan sebahagian besarnya didiami oleh komuniti FELDA.
“Paya Besar bukanlah kubu kuat BN seperti disangka kerana Pakatan Harapan telah mula menembusi kawasan-kawasan seperti FELDA Bukit Goh, FELDA Bukit Kuantan dan FELDA Bukit Sagu.
"Perubahan ini satu isyarat jelas bahawa komuniti FELDA mahukan perubahan dari segi kehidupan yang lebih baik dan kepimpinan yang memimpin ke arah amalan urus tadbir organisasi FELDA yang lebih telus,” tambah Mohd Ashraf.
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah dijemput melawat perkampungan FELDA Bukit Goh sebagai sebahagian rangka kempen PH ke Kuantan pada 2 Mei membuktikan penerimaan baik terhadap Pakatan Harapan pada PRU14.
Menurut Ashraf, perubahan sikap pengundi kali ini berkait rapat kepada pelbagai isu nasional yang gagal dijawab oleh pemerintah seperti kemelut 1MDB, masalah FELDA dan paling utama, kos sara hidup yang mendesak majoriti rakyat ketika ini.
Pakatan Harapan menawarkan perubahan dan pembaharuan bagi mengubah lanskap kehidupan rakyat ke arah lebih baik menerusi manifesto yang khusus meringankan beban kehidupan rakyat yang terkesan kerana pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, GST.
Pertandingan 3 penjuru kerusi Parlimen Paya Besar melibatkan calon Barisan Nasional, Mohd Shahar Abdullah, Mohd Ashraf mewakili PKR dan calon Pas, Mohd Azhar Mohd Noor.
#anak muda #Barisan Nasional #calon muda #Felda #Malaysia #Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir #orang muda #Pahang #Pakatan Harapan #Paya Besar
;