Calon MB: Boleh berharap, tapi perlu dapat perkenan Sultan - Zambry

Nazialita Geynna Maharan
April 30, 2018 05:55 MYT
Zambry berharap rakyat dapat membuka mata dengan calon parti pembangkang yang gagal membezakan tanggungjawab seorang wakil rakyat dan juga seorang tokoh politik popular di pentas-pentas ceramah selama ini. - Gambar fail
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, mengalu-alukan mana-mana calon daripada parti pembangkang yang menyimpan hasrat untuk menjadi Menteri Besar di negeri ini.
Katanya, seseorang itu boleh berharap tetapi keputusan muktamad berkaitan calon serta pelantikan Menteri Besar terletak di bawah kuasa Sultan Perak.
Beliau mengulas mengenai calon Melayu tunggal DAP di Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari, yang dispekulasikan sebagai strategi persediaan parti itu untuk menjadi menteri besar jika Pakatan Harapan menang di negeri tersebut sekali lagi selepas gagal berbuat demikian pada PRU12.
"Ini adalah kesan yang mereka buat, tetapi saya tidak mahu mencampuri urusan mereka kerana yang paling mustahak adalah rakyat negeri Perak, tentunya mereka tahu siapa yang sewajarnya.
"Jadi, yang paling penting adalah, pelantikan seseorang Menteri Besar perlu mendapat perkenan daripada DYMM Paduka Seri Sultan.
"Memanglah sesiapa pun boleh mengesyorkan dari parti mana, tetapi keputusannya terpulang, untuk mendapatkan perkenaan daripada Raja negeri terbabit," ujarnya pada Isnin.
Abdul Aziz, yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, dalam responsnya mengambil pendekatan terbuka dengan tidak mengiyakan atau menafikan cakap-cakap tentang potensi besar dirinya sebagai calon Menteri Besar.
BACA: 'Aziz Bari bukan calon Menteri Besar Pakatan' - Nizar
BACA: Calon MB Pas?
Mengulas lanjut, Zambry berharap rakyat dapat membuka mata dengan calon parti pembangkang yang gagal membezakan tanggungjawab seorang wakil rakyat dan juga seorang tokoh politik popular di pentas-pentas ceramah selama ini.
"Kita tahu beberapa watak yang datang ke sini, kononnya menjadi wakil rakyat tetapi hanya mereka (calon BN Datuk Seri Mah Siew Keong dan Datuk Mohd Adzhar Jamaluddin) yang sentiasa dan setia di kawasan ini menjalankan khidmat sebagai wakil kepada rakyat," tambahnya.
BACA: Pertembungan tiga penjuru di Parlimen Teluk Intan dan dua kerusi DUN
Presiden Gerakan, Mah, akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pertandingan tiga penjuru berdepan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan calon Pas, Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.
Sementara Mohd Azhar akan mempertahankan DUN Changkat Jong berdepan calon PKR Muhammad Faizul Mohamed Ismail dan calon Pas Mohd Azhar Mohd Rafiei.
#abdul aziz bari #Barisan Nasional #calon #MalaysiaMemilih #Menteri Besar #pembangkang #Perak #PRU14 #Sultan Perak #Zambry Abdul Kadir
;