Calon mahu bertanding semula perlu kemuka kad laporan prestasi - Fuziah Salleh
Astro Awani
April 22, 2018 22:37 MYT
April 22, 2018 22:37 MYT
Penerbitan kad laporan prestasi dalam kalangan ahli parlimen di negara ini masih belum meluas kerana hanya segelintir sahaja yang “berani” menerbitkan kad laporan prestasi tersebut.
Kad laporan prestasi itu adalah pangkalan data bagi pengundi menilai sama ada wakil yang dipilih mereka benar-benar menjalankan tugas sebagai ahli parlimen atau tidak dan faktor inilah yang menyebabkan penerbitan kad laporan prestasi bukan satu langkah popular dalam kalangan ahli politik.
Inter Parliamentary Union (IPU) menetapkan tiga kriteria khusus bagi penilaian prestasi seseorang ahli parlimen iaitu penglibatan di dalam penggubalan undang-undang, berperanan menyemak dan mengawasi serta perkhidmatan di kawasan.
Kriteria tambahan pula merangkumi penglibatan mewakili Parlimen Malaysia ke peringkat antarabangsa, penglibatan sebagai perunding antarabangsa serta melatih ahli parlimen negara lain dan akhir sekali, penglibatan membentuk dan menggerakkan kokus di parlimen.
Menyedari kepentingan kad laporan prestasi ini, Ahli Majlis Pimpinan Pusat merangkap Pengarah Latihan Akademi PKR, Fuziah Salleh yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuantan selama dua penggal, menerbitkan kad laporan prestasi penuh sepanjang mewakili suara rakyat Kuantan.
“Kad laporan prestasi saya mempamerkan kesemua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Inter Parliamentary Union (IPU) dan telah dicapai sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuantan dan disediakan kepada pengundi Kuantan untuk menyemak pencapaian saya,” katanya kepada Astro AWANI.
Pelancaran rasmi kad laporan prestasi Fuziah sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuantan selama dua penggal iaitu 8 Mac 2008 hingga 3 April 2013 dan 5 Mei 2013 hingga 6 April 2018 akan berlangsung di Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat di Kuantan pada Isnin, 23 April dan boleh didapati daripada laman web rasmi serta kesemua platform media sosial rasmi milik beliau.
Menurut Fuziah yang menawarkan diri mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan buat penggal ketiga, memasuki gelanggang pilihan raya umum kali ketiga bukan perkara mudah.
“Saya menawarkan diri bertanding buat penggal ketiga mewakili suara warga Kuantan dan saya tahu, tidak ramai yang berani mengambil pendirian sedemikian.
"Ini kerana, jika seseorang wakil yang telah dilantik selama dua penggal tidak melaksanakan tanggung jawab dengan baik, pengundi akan menzahirkan bantahan mereka menerusi peti undi,” katanya.
“Pengurusan sisa kilang Lynas masih belum diselesaikan dan kebimbangan terhadap kesan radiasi jangka panjang masih dirasai oleh penduduk Kuantan berikutan ketiadaan fasiliti pengurusan sisa kekal yang dibimbangi mengancam kesihatan penduduk sekitar Kuantan,” katanya.
Kesemua isu yang dibawa ke Dewan Rakyat termasuk perlombongan bauksit dan Lynas, kehadiran beliau, perbahasan Rang Undang-undang (RUU), pengundian, soalan yang dikemukakan, peranan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuantan dan semuanya boleh diteliti di dalam kad laporan prestasi itu.
#Barisan Nasional
#Fuziah Salleh
#Gagasan Sejahtera
#Inter Parliamentary Union
#kad laporan prestasi
#Kuantan
#Malaysia
#MalaysiaMemilih
#Pahang
#Pakatan Rakyat
#Parlimen
#PRU14