Calon lawan Hutan Melintang diselar kerana sebar fitnah

Nazialita Geynna Maharan
Mei 7, 2018 17:33 MYT
AHMAD ZAHID: Dia sengaja buat onar yang begitu, kerana dia tahu bahawa dia orang luar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada calon pembangkang DUN Hutan Melintang untuk tidak merosak serta memecahbelahkan masyarakat India di Bagan Datuk.
Menurutnya G. Manivannan cuba memecahbelahkan masyarakat India di Bagan Datuk dengan membuat fitnah mengenai ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa undi awal 5 Mei lepas.
Malah, Ahmad Zahid turut menegur tindakan Manivannan dan menggesanya untuk menghormati penduduk terutama masyarakat India sekitar Bagan Datuk dan Hutan Melintang kerana dia merupakan orang luar yang datang bertanding.
Tegasnya, tindakan Manivannan menfitnah amat tidak rasional kerana pengundi sebelum ini telah menolak pencalonannya untuk bertanding semula sebagai Ahli Parlimen Kapar malah meletakkan beliau sebagai pengundi luar.
"Saya sangat dukacita apabila calon DUN Hutan Melintang menuduh pihak SPR dan polis kononnya melakukan pembukaan peti undi bagi pengundi-pengundi awal, tentera dan polis pada 5 haribulan lalu.
"Saya nak bagi tahu kepada Manivannan kalau pengundi Kapar menolak dia, parti tolak dia untuk bertanding, dan dia di sini merupakan calon luar, jangan rosakkan masyarakat Bagan Datuk,"katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Back2School:Pelestarian Kebun yang dihadiri oleh murid-murid daripada 68 buah sekolah sekitar Bagan Datuk di SK Sungai Nipah, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid, juga menafikan keretanya telah memasuki perkarangan Balai Polis Hutan Melintang dan mendapat sambutan warga PDRM kerana beliau langsung tidak berada di lokasi pada masa dan tarikh yang didakwa Manivannan.
"Dia sengaja buat onar yang begitu, kerana dia tahu bahawa dia orang luar, dia bertanding di Hutan Melintang untuk mendapatkan simpati jangan cuba buat fitnah dalam perkara ini.Jangan buat fitnah, tunggu akibatnya daripada fitnah yang dijalankan,..jadi perkara-perkara macam ini telah ditularkan diviralkan.
"Saya minta, kalau dia mahu berkempen, kempen secara baik dan jangan (guna) perkara tidak benar dan fitnah untuk mengganggu orang Bagan Datuk. Orang India, masyarakat di Bagan Datuk menolak jenis orang yang buat fitnah ini, memang tidak laku di Kapar.
"Partinya juga tidak mahu dia bertanding di mana-mana kerusi di Selangor, ditendang ke Hutang Melintang untuk jadi calon, sekarang nak buat kerenah!" katanya lagi.
Ahmad Zahid juga menasihatkan Manivannan untuk tidak mengulangi tindakan beliau, kerana sebagai orang luar beliau harus menghormati budaya dan tata etika yang baik di sekitar Bagan Datuk.
"Peti undi tidak boleh dibuka... hanya boleh dibuka selepas 9 Mei, itu pun peti undi terakhir dibuka. Saya maafkan untuk pertama kali, jangan buat fitnah, kami (BN) tidak pernah menyentuh parti lain, tidak pernah menyentuh tentang individu dalam perkara ini. Jangan kerana susah nak dapat pengaruh buat fitnah di Bagan Datuk," katanya lagi.
#Ahmad Zahid Hamidi #Bagan Datuk #calon #DUN #g manivannan #Hutan Melintang #MalaysiaMemilih #masyarakat India #pengundi #politik #SPR
;