Calon ketua menteri wanita Pulau Pinang? Anthony Loke akui terkejut
Dewi Nur Harasha Alias
September 11, 2022 20:46 MYT
September 11, 2022 20:46 MYT
GEORGE TOWN: Tiada perbincangan dibuat DAP berhubung pencalonan wanita sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang .
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau sendiri terkejut dengan khabar angin mengenai perkara itu dan menyifatkan ia sesuatu yang baharu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus DAP Pulau Pinang bakal menempatkan calon wanita sebagai ketua menteri bagi mengangkat serta memperkasakan peranan golongan itu dalam parti politik.
"Sesuatu yang baharu kepada saya, saya belum dengar lagi, saya tak dengarlah cadangan tersebut , something new to me…," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Jentera PRU15 DAP Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow serta veteran DAP, Lim Kit Siang.
Sebelum ini, Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang pertama daripada DAP dan kini jawatan itu disandang Kon Yeow.