Calon kerusi Parlimen Rembau: KJ mahu bincang dengan Tok Mat
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 16, 2020 16:51 MYT
Ogos 16, 2020 16:51 MYT
Khairy Jamaluddin akan berbincang dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berhubung isu calon kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perbincangan dalam suasana kekeluargaan perlu dilakukan kerana kedua-dua mereka dari Umno bahagian yang sama.
"Beliau (Mohamad) adalah Ketua Umno Bahagian (Rembau) manakala saya pula adalah timbalannya.
“Jadi biarlah kita bincang secara adik-beradik dalam konteks keluarga Rembau, Umno Rembau dan dalam perbincangan itu bolehlah kita buat keputusan, tak perlulah kita komen di luar, kita bincang secara dalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama jentera Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi Felda Besout 2, dekat sini, hari ini.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad, Khairy meminta semua pihak memberi mereka peluang berbincang terlebih dahulu.
Baru-baru, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Sri Kota, mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU-15.
#ADUN
#keluarga
#Kerusi Parlimen Rembau
#Khairy Jamaluddin
#KJ
#Mohamad Hasan
#Parlimen
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU-15
#Tok Mat
#UMNO