Calon GPS 'sesuai' pegang jawatan TPM - Masing

Syafik Shukri Jalil
Ogos 18, 2021 13:22 MYT
Calon itu juga perlu jujur, berkaliber dan dapat memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan. FOTO: Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pemilihan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan langkah tepat dan sesuai untuk dipertimbangkan dalam pembentukan kerajaan baharu.
Menurut Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, ini kerana jika seseorang calon dinamakan, ia dipilih berdasarkan sokongan dalam sesebuah parti demi mencapai kestabilan.
‘’Pemilihan Ahli Parlimen daripada GPS merupakan satu langkah yang tepat dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu,’’ katanya menerusi satu kenyataan kepada Astro AWANI pada Rabu.
Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak bagaimanapun berkata, sesiapa sahaja calon yang dipilih untuk menjawat kedudukan tersebut adalah tidak penting.
BACA: Sudah tiba masanya jawatan TPM diberi kepada pemimpin Sabah, Sarawak - Penganalisis
BACA: Calon PM ke-9: GPS dijangka sokong Ismail Sabri - Penganalisis politik
‘’Apa yang penting adalah peranan dan sumbangan GPS ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
‘’Malah calon itu juga perlu jujur, berkaliber dan dapat memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan,’’ ujarnya.
BACA: Perdana Menteri baharu perlu terus jaga hak istimewa Sarawak - Abdul Karim
Masing berkata demikian susulan kenyataan pemuda PRS yang mencadangkan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang baharu.
#Timbalan Perdana Menteri #Gabungan Parti Sarawak #Perikatan Nasional #Parti Rakyat Sarawak #PRS #GPS #PN #Alexander Nanta Linggi #James Jemut Masing
;