Calon diingatkan tak bawa 'en-bloc' dokong parti lain
Sinar Harian
Mac 7, 2023 06:45 MYT
Mac 7, 2023 06:45 MYT
KOTA KINABALU: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini tidak mengugat kerajaan yang ada dengan membawa 'en-bloc' UMNO bagi mendokong parti lain.
Beliau turut meminta ahli UMNO membuat pilihan yang terbaik terhadap calon yang bertanding bagi mengukuhkan lagi parti itu.
"Saya harap anda semua pilihlah calon-calon yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik yang dapat membantu mengukuhkan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tokoh-tokoh yang dapat bersama-sama dengan kepimpinan untuk terus memperkasakan UMNO dan pertahankan kerajaan yang ada.
"Kita tidak mahu ada dalam kalangan calon-calon yang bergerak kononnya untuk mengugat kerajaan yang ada, kononnya untuk membawa 'en-bloc' UMNO bagi mendokong parti lain.
"Saya fikir calon-calon yang begitu tidak sama dengan apa yang ada di dalam pemikiran 'mainstream' UMNO.
"Untuk itu saya berharap carilah pemimpin yang menawarkan diri yang terdiri daripada mereka yang benar-benar komited untuk memperkasakan UMNO semula di semua peringkat terutama di nasional," katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita UMNO dan Exco Pergerakan Puteri UMNO pada Selasa.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan calon supaya patuh kepada peraturan kerana dikhuatiri mereka akan hilang kelayakan pada tarikh penting pemilihan berkenaan.
"Oleh kerana kita ada Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Shahrir Samad, peraturan ditentukan, saya harap ejen dan pengurus kempen tolong ingatkan calon-calon supaya patuh kepada peraturan.
"Saya khuatir ada yang hilang kelayakan sebelum 11 dan 18 Mac. Saya dapat tahu daripada Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan ada laporan yang telah sampai kepada mereka dan jangan ada yang hilang kelayakan.
"Yang paling saya khuatir walaupun menang, Jawatankuasa Pemilihan ada hak untuk membatalkan kemenangan. Saya yakin calon yang datang malam ini, majlis sebelum ini mematuhi peraturan dan memahami apa yang diterapkan," katanya.
Sebelum itu, hadir sama pada majlis itu ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut mengambil bahagian bertanding pada pemilihan UMNO kali ini. - Sinar Harian
#Zahid Hamidi
#Pemilihan UMNO
#peraturan Jawatankuasa Pemilihan
#bawa 'en-bloc' UMNO dokong parti lain